NAMPAKNYA 'hubungan' Pas-Umno dari sehari ke sehari 'semakin intim' sehinggakan pemimpin Pas ketika muktamar ke-64 parti itu di Terengganu, membayangkan akan mengadakan muktamar khas membincangkan isu kerjasama kedua-dua parti.
Sejumlah ahli malah pemimpin Umno-Pas terutama Umno 'tak senang duduk'; mutakhir ini ada pemimpin kanan seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti dan dikhabarkan mereka akan diikuti ramai tokoh lain.
Pemimpin tertinggi Umno terutama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan 'membisu'; walaupun menghadiri muktamar Pas, beliau tidak mengeluarkan 'kenyataan tegas' mengenai isu ini...membiarkan pemimpin Pas 'mendominasi suasana' dengan menguar-uarkan untuk mengadakan muktamar khas.
Perkembangan ini akan 'memaksa' pemimpin dan ahli kedua-dua parti yang kurang senang dengan 'projek kerjasama', memikirkan keadaan itu seterusnya membuat keputusan meninggalkan parti masing-masing.
Ada sejarah panjang mengenai 'projek kerjasama' Pas-Umno ini; baru-baru ini saya tertarik membaca artikel kolumnis veteran Harakah, Subky Latif di Harakahdaily dengan tajuk memukau 'Jadikah Pas,Umno seperti Aus, Khazraj?
Antara lain Pak Subky menulis: "Dari tahun 1951, tarikh kelahiran Pas hingga pertengahan tahun 2018 ia berseteru politik dengan Umno sekalipun sama-sama saf solat Jumaat dan Adilfitri serta sekapal terbang naik haji.
Cakap Melayunya macam anjing dan kucing, cakap Islamnya macam Aus dan Khazraj di Madinah sebelum kedatangan Islam. Aus dan Khazraj saling berbunuh. Di Lubuk Merbau, Kedah dan Memalipun ada orang PAS terbunuh.
Orang Islam yang tidak berpolitik dan para mufti yang dipercayai dipengaruhi pemimpin Umno, menyarankan Pas-Umno mesti bersatu. Mereka membawa seruan orang Islam seluruhnya.
Bagaimana hubungan seperti Aus dan Khazraj itu dapat dirungkai. Permusuhan kedua-duanya selesai dengan kedatangan Islam di Madinah. Adapun Umno dan Pas sudah sedia Islam. Tetapi tidak nampak Islam terpelihara di bawah 63 tahun kerajaan Umno, bahkan Islam kian goyang.
Sekalipun Umno berkata ia mahu bersama PAS tetapi tiada langkah positif diambilnya kerana ia mengharapkan untuk merampas Kelantan dalam PRU14. Ia tidak positif dengan RUU355. Tidak nampak ruang boleh berkawan selama Umno berkuasa, apa lagi kalau Kelantan dapat dirampas.
Hubungan negatif Pas-Umno selagi Umno berkuasa adalah seperti 63 tahun dulu juga. Bahkan perubahan politik matang dan sejahtera PAS yang menyebabkan ia kehilangan setengah penyokong tradisi. Doa pro-penyatuan seolah-olah tidak makbul kiranya BN dapat mempertahankan kuasanya.
Rupanya gencatan senjata kedua-duanya adalah mungkin dengan Umno mesti kalah dulu. Kekalahan Umno dalam PRU14 boleh merapatkan Umno. Tiada yang menyangka rombongan Presiden Umnomenjadi tetamu dalam muktamar Pas.
Sekalipun PAS meneruskan tradisinya bersama muafakat pembangkang, Zahid adalah pimpinan Umno yang pertama berpendidikan rasmi Islam. Mungkin ia melayakkan persaudaraan Aus-Khazraj dalam kalangan Ansar dulu.
Pada muktamar sulung didatangi Umno, Pas tidak meletakkan PAS memimpin tetapi mengalu-alu temanya 'Islam Memimpin' seperti penyatuan Aus-Khazraj. Apakah PAS- Umno bakal bersatu? Belum. Mereka baru berdua.
Demikianlah tulis Pak Subky, veteran PAS yang disegani itu. Berhubung isu penyatuan Pas-Umno ini, izinkan saya akhiri kalam ini dengan memetik pesanan allahyarham tokoh Pas yang disayangi semua - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - "Kalau Umno laksana Islam keseluruhannya maka haram lagi ada PAS."
Ya, PAS tidak relevan (perlu wujud) lagi jika Umno sanggup buat begitu!
LanH
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Tags
Artikel