Berita Terkini

Tindakan MB Kedah batal cuti Thaipusam untuk puaskan agenda sendiri, dakwa pemimpin PKR


KUALA LUMPUR:
Tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan cuti perayaan Thaipusam di negeri itu lebih ke arah memuaskan agenda tersendiri, dakwa Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Timbalan Pengarah Strategi Keadilan itu berkata, tindakan Muhammad Sanusi itu juga menunjukkan sifat keangkuhan dan tidak menghormati agama dan tradisi agama lain.

Menurut beliau, Thaipusam merupakan perayaan penting yang disambut oleh kaum India dan masyarakat itu sudah pasti akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berkali- kali sudah beliau (Muhammad Sanusi) membuktikan sifat rasisnya seperti dalam isu perobohan Kuil Sri Raja Muniswaran. Mengapa tidak ada tindakan susulan dari pucuk kepimpinan Pas ataupun kerajaan Perikatan Nasional untuk menasihatinya?

“Lebih baik bagi Sanusi memberikan usaha dalam membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan kaum daripada terus mentadbir negeri sebagai seorang pemimpin berfikiran sempit dan jahil dalam aspek memelihara keharmonian,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah itu menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menafikan hak penganut agama Hindu.

Jelasnya lagi, keputusan kerajaan negeri tidak mengambil cuti peristiwa berkenaan sama sekali bukan mahu mengenepikan hak mana-mana rakyat di negeri ini.

"Ketika tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam di Kedah sejak sebelum Merdeka lagi, ia tetap disambut bebas dan meriah, hanya dua tahun terakhir ini ia dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri.

"Jadi penganut agama terbabit boleh menyambutnya di mana-mana saja dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan. Cuma sekarang semua orang sedang 'dicutikan' akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan itu diambil bagi ekoran negara berada dalam tempoh pelaksanaan Proklamasi Darurat dan PKP susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak.

Bagaimanapun, keputusan yang diambil Muhammad Sanusi menerima kecaman beberapa pemimpin komuniti India termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Ahli Parlimen Tapah itu berpendapat, tindakan Muhammad Sanusi jelas memperlihatkan kejahilannya serta sikap berat sebelah terhadap kaum Hindu.

“Saya sedar cuti Thaipusam merupakan prerogatif kerajaan negeri, bukan seperti cuti-cuti awam yang lain. Tetapi keputusan itu menunjukkan kesombongan kerajaan pimpinan Pas Kedah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dalam reaksinya terhadap dakwaan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan Saravanan untuk tumpu kepada kerja-kerja kementerian sahaja.

“Menteri Sumber Manusia patut jaga bab kerja, dia kalut (kelam-kabut) nak cuti... guna kepala surat (letterhead) kementerian buat kenyataan politik dia…,” kata Muhammad Sanusi.

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form