Berita Terkini

Ahmad Zahid minta saya campur tangan - Muhyiddin



KUALA LUMPUR:
Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

Menerusi dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 April lalu, Muhyiddin, 74, mendakwa Ahmad Zahid, 69, membuat permintaan selepas menghadiri mesyuarat di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

"Selepas saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baharu.

"Beberapa individu menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya meminta Azmin untuk turut serta.

"Ketika perbincangan, beliau menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu. Apabila saya tanya mengapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta bantuan Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.

Muhyiddin juga mendakwa apabila mendengar permintaan itu, beliau memaklumkan plaintif beliau tidak boleh dan tidak akan campur tangan dalam prosiding mahkamah serta menasihati Ahmad Zahid untuk membela dirinya, jika beliau benar-benar tidak bersalah.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan oleh Abdul Hadi sebelum mesyuarat itu, plaintif bertemu dengan Abdul Hadi dan turut menunjukkan dokumen terbabit, selain menyatakan dia tidak bersalah.

"Bagaimanapun, Abdul Hadi memberitahu plaintif bahawa tujuan mesyuarat itu diadakan di kediaman saya ialah untuk membincangkan hal ehwal kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata, tiada sebab untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail terbabit kepadanya dan membuat permintaan itu melainkan ia bertujuan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah terhadap plaintif.

Abdul Hadi hadir di kediaman Muhyiddin sebelum Ahmad Zahid berjumpa Muhyiddin secara peribadi. - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Abdul Hadi hadir di kediaman Muhyiddin sebelum Ahmad Zahid berjumpa Muhyiddin secara peribadi. - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Muhyddin turut menafikan kenyataan yang dibuatnya semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing, iaitu di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Februari lalu, adalah palsu atau berbaur fitnah atau mempunyai niat jahat.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan permohonan inter-parte untuk mendapatkan perintah injunksi oleh anak guamnya dalam kes saman fitnah terhadap Muhyiddin akan didengar pada 25 Mei ini, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff melalui prosiding dalam talian.

Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah itu atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial, termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Turut diminta perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil 'Perikatan Nasional,' YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

Ahmad Zahid menghadiri perbicaraannya di mahkamah. - Foto hiasan NSTP
Ahmad Zahid menghadiri perbicaraannya di mahkamah. - Foto hiasan NSTP

Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif, selain menuntut kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form