Berita Terkini

Mahathir bantah penyelesaian di luar mahkamah antara kerajaan dan Apandi


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju terhadap langkah kerajaan menyelesaikan kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, terhadap dirinya dan kerajaan di luar mahkamah.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau terkejut dengan penyelesaian tersebut dan telah menulis kepada Peguam Negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan sebagai defendan dan saksi utama kes berkenaan, beliau tidak diberitahu mengenai penyelesaian berkenaan.

“Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk, memandangkan tindakan penamatan perkhidmatan Apandi dibuat mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia daripada saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Oktober 2020, Apandi memfailkan saman dengan menamakan Mahathir dan kerajaan ketika itu, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Apandi memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh Mahathir sebagai tidak sah.

Namun, pada 13 April lalu, saman yang difailkan itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mahathir turut membangkitkan persoalan sama ada pampasan perlu dibayar sekiranya tindakan penamatan perkhidmatan Apandi dibuat mengikut undang-undang.

Apandi Ali

“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.

“Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” katanya.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau mempertahankan tindakannya dan percaya penamatan perkhidmatan itu mengikut prosedur yang ditetapkan selepas menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, bagi persediaan kes saman Apandi itu, saya dimaklumkan bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan ‘Rule of Law’.

“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan sudah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Apandi ditamatkan perkhidmatan,” tambah Mahathir lagi.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form