KUALA LUMPUR: Pada usia hampir mencapai satu abad, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mampu bertahan walaupun terpaksa memberikan keterangan selama berjam-jam dalam kes saman fitnahnya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada satu ketika prosiding berlangsung di Mahkamah Tinggi hari ini, Dr Mahathir tetap ingin meneruskan prosiding perbicaraan walaupun peguam Ahmad Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mencadangkan mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.
"Kita boleh teruskan," kata Dr Mahathir bersahaja.
Selain memberikan jawapan bersahaja, bekas perdana menteri itu juga sempat menjawab soalan peguam yang kadang-kala mengundang gelak ketawa pihak yang berada dalam mahkamah.
Apabila ditanya oleh peguam, siapakah di antara 10 orang adik beradiknya yang masih hidup, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu dengan selamba menjawab, "Sayalah, saya masih hidup,".
Di sebalik karakter bersahaja, Dr Mahathir juga sesekali berubah menjadi tegas ketika menjawab Mohamed Shahrul Fazli berhubung saman yang difailkan pada tahun 2022 kerana mendakwa Ahmad Zahid mempersoal asal usulnya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Nada Dr Mahathir agak tinggi ketika menyatakan yang beliau tidak pernah malu untuk mengakui mempunyai darah (keturunan India), namun tegasnya fakta itu tidak bermakna beliau bukan Melayu.
Ketika itu beliau disoal oleh peguam, sama ada malu untuk dikaitkan berketurunan India dari Selatan India, dan beliau menjelaskan bapanya, Mohamad Iskandar dilahirkan di Pulau Pinang dan didaftarkan sebagai orang Melayu dari Malaysia.
"Ketika saya jadi perdana menteri, bila saya pergi Pakistan, mereka kata saya orang Pakistan. Bila pergi Bangladesh, mereka kata saya orang Bangladesh. Dan bila pergi Sri Lanka, orang kata saya orang Sri Lanka.
"Itu kepercayaan mereka dan dipercayai oleh mereka tetapi semuanya tidak benar. Bapa saya dilahirkan dan didaftarkan sebagai orang Melayu dari Malaysia.
"Saya tidak malu untuk menyatakan saya mempunyai darah India tetapi itu tidak bermakna saya bukan Melayu," katanya.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak pasti sama ada datuk atau moyangnya yang berasal dari Kerala, India kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius dalam keluarganya.
Tegas Dr Mahathir, asas kes saman fitnahnya terhadap Ahmad Zahid antara lain menyatakan nama beliau sebagai 'Mahathir anak lelaki (a/l) Iskandar Kutty'.
Dr Mahathir berkata, (ucapan) itu menggambarkan beliau menipu apabila menyatakan namanya Mahathir bin Mohamad dan bukannya Mahathir a/l Iskandar Kutty dan ia turut membayangkan dirinya menipu apabila tidak menggunakan nama sebenar.
Katanya, saman difailkannya bukan mempertikai sama ada Mahathir dan Iskandar adalah nama seorang muslim atau sebaliknya (seperti ditanya oleh peguam), tetapi ia membabitkan persoalan beliau menipu apabila tidak menggunakan nama sebenar.
Dr Mahathir turut menepis kandungan penulisan, Barry Wain dalam buku 'Mahathir: The Malaysian Maverick'yang antaranya menyebut bapanya bernama Mohamad Iskandar Kutty dan berasal dari Jawi Peranakan, dan menegaskan fakta itu tidak benar.
Selain mendakwa gambar digunakan untuk menunjukkan bapanya juga salah, Dr Mahathir berkata, beliau tidak terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang kepada penulis buku itu yang dianggapnya tidak penting.
Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99 selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir berkata, beliau percaya dengan sesungguhnya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.
Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui.
Katanya, ia juga difahamkan beliau pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.
Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bersambung ke sesi petang.