Berita Terkini

Penyelesaian adalah isu awam bukan peribadi, kata peguam


Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata Mohamed Apandi Ali salah apabila dia mendakwa Dr Mahathir Mohamad tidak berhak mempersoalkan penyelesaian saman RM2.23 juta yang dibuat antara bekas peguam negara itu dengan kerajaan berhubung kes pemecatannya.

Haniff Khatri, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai peguam kepada Dr Mahathir, berkata, apa yang berlaku itu adalah kes sivil yang melibatkan bekas pegawai awam dan bekas perdana menteri.

“Atas dasar itu, ia menjadi satu isu awam, bukan isu peribadi. Soal sama ada Dr Mahathir berhak membantah atau tidak, bukan soalnya.

“Soalnya ialah Dr Mahathir, sebagai seorang rakyat biasa sekarang ini, terutamanya sebagai negarawan dan rakyat umum berhak tahu,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaikkan di Facebook.

Haniff Khatri berkata, sekiranya kerajaan membayar pampasan walau RM1 sekali pun kepada Apandi, itu akan menggunakan dana awam.

Justeru, katanya alasan Apandi bahawa terma penyelesaian dalam kes sivil biasanya dirahsiakan tidak terpakai dalam kes ini.

“Memang betul dalam tindakan sivil tertentu, ada keadaan-keadaan yang membolehkan pertikaian dan penyelesaian pertikaian di mahkamah dirahsiakan terma-terma, tetapi itu adalah berkaitan tindakan sivil di antara individu dan individu, syarikat dan syarikat, syarikat dan individu, individu dan syarikat.

“Maknanya, isu-isu berkaitan pertikaian bersifat peribadi. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, tindakan Apandi adalah berkaitan tadbir urus negara, perkara bersifat awam untuk kepentingan awam, wajib diketahui orang awam akan penyelesaian jadi sifat kerahsiaan ini tidak terpakai dan tidak boleh dijadikan alasan untuk Apandi mahupun Idrus Harun sebagai peguam negara,” katanya.

Dakwaan Apandi bahawa Dr Mahathir hanya mahukan perhatian selepas menimbulkan semula perkara itu, sedangkan ia sudah diselesaikan tiga minggu lalu, juga adalah tidak benar, kata Haniff Khatri.

Menurutnya, Dr Mahathir tidak dimaklumkan mengenai penyelesaian itu sehingga tiga minggu kemudian, yang juga merupakan antara aduan yang dibangkitkan bekas perdana menteri itu dalam kenyataannya sebelum ini.

“Rakyat di luar tidak tahu siapa yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan, siapa ada hak untuk menyelesaikan.

“Apabila rakyat membaca laporan yang mengatakan kes Apandi menyaman Dr Mahathir dan kerajaan sudah diselesaikan, rakyat memahami bahawa kononnya Dr Mahathir yang menyelesaikan.

“Oleh kerana itulah rakyat perlu diberi faham bahawa tindakan ini bukan Dr Mahathir yang selesaikan tetapi kerajaan Malaysia yang selesaikan. Saya percaya Apandi sebagai bekas peguam negara boleh faham perkara asas ini,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form