Berita Terkini

Pemilihan PKR: Saya tidak boleh lagi kekal aktivis - Fadhlina


Sejak PKR ditubuhkan, Fadhlina Sidek hanya memerhatikan dari luar dan memantau apa yang berlaku. Namun, melihat pengkhianat ahli-ahli parti itu semasa Langkah Sheraton meyakinkannya bahawa dia tidak boleh lagi berdiam diri dan berlegar-legar di padang aktivis.

Sebelum ini, aktivis dan peguam itu kurang berminat menceburi politik meskipun mempunyai hubungan rapat dengan PKR melalui arwah bapanya, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Siddiq Fadzil - orang kepercayaan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang peguam syarie, Fadhlina juga pernah mengetuai pasukan peguam yang mewakili Anwar dalam kes qazaf yang dikaitkan dengan dakwaan seks luar tabii.

Sebaik menyertai PKR pada Julai 2020, Fadhlina cepat bangkit dalam parti itu. Mandat pertamanya adalah sebagai pengerusi biro guaman dan pembangunan komuniti, dan kemudiannya dilantik sebagai senator lantikan dari Pulau Pinang.

"Jadi dari segi tempoh secara formal, saya masuk parti baru dua tahun. Sebelum itu masih berlegar-legar di luar parti sebagai simpatisan dan aktivis parti sejak 1998.

"Selepas Langkah Sheraton saya ingat saya tak boleh lagi berdiam diri dan berlegar-legar di padang aktivis," kata Fadhlina, 45 dalam wawancara bersama Malaysiakini di pejabatnya Shah Alam.

"Apa yang membuat saya merasa perlu berada dalam parti adalah keyakinan bahawa parti ini benar-benar menawarkan sesuatu untuk masa depan dan juga benar-benar memberikan keyakinan untuk meneruskan perjuangan yang selama ini saya percaya.

"Soal keadilan sosial, sosial martabat insan, soal yang kita memperjuangkan masyarakat tertindas. Inilah parti yang akhirnya menjawab persoalan-persoalan saya ketika menjadi aktivis," katanya.

Langkah Sheraton pada Februari, 2020, menyaksikan tempoh pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan di Putrajaya berakhir dan PKR kehilangan dua pemimpin tertinggi - bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua sayap wanita Zuraida Kamaruddin - yang berpaling tadah.

Selain beberapa ahli parlimen yang dipujuk untuk bersama, mereka kemudiannya membentuk blok Bebas di Parlimen. PKR juga kemudiannya melakukan pembersihan dalaman untuk menyingkirkan anggotanya yang dituduh menyokong kumpulan mereka yang dilabel sebagai pengkhianat.

Fadhlina berkata dengan pengumuman bahawa PKR akan mengadakan pemilihan partinya sebelum pilihan raya umum ke-15 akan datang, dia membuat keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon mengetuai sayap wanita.

"Saya menawarkan diri atas alasan, pertama untuk memberikan pilihan kepada anggota parti.

"Selain dari wajah baru, saya juga memberikan tawaran penting dalam soal mengukuhkan organisasi, membina parti dan menyiapkan parti untuk pilihanraya akan datang," katanya.

Fadhlina juga berkata dia tidak berkempen sebagai sebahagian daripada pasukan atau ‘cai’ yang bersekutu dengan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution.

"Pandangan peribadi saya sistem cai ini ada kebaikan dan keburukan. Mereka pergi, dah ada senarai, tanpa memberikan ruang untuk calon-calon membuktikan kapasiti mereka, merit mereka.

"Jadi, saya pergi tanpa cai saya rasa adalah satu pembaharuan penting bagi memberi ruang kepada ahli parti memilih berdasarkan merit, kompetensi dan dengar sendiri tawaran saya untuk parti," katanya.

Terdapat kira-kira 11,000 calon yang akan bertanding bermula daripada jawatan timbalan presiden sehingga ke peringkat cabang, menurut Fadhlina.

Dalam pemilihan kali ini, Fadhlina menentang penyandangnya Rodziah Ismail, yang membentuk ‘cai’ bersama-sama dalam pasukan Rafizi.

Sepanjang kempennya yang berterusan, Fadhlina telah meliputi kebanyakan negeri kecuali Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak, dan katanya setiap kali bertemu dengan ahli-ahli pati dia merasakan "euforia" daripada mereka yang mencari individu yang komited untuk berkhidmat kepada parti.

Sebilangan kecil mereka yang menentang, kata Fadhlina, adalah berikutan masanya bersama parti yang dikatakan agak singkat.

'Ekosistem untuk wanita'

Mengenai visinya, Fadhlina berkata dia mahu memastikan parti menyediakan ekosistem kepada anggota wanita, merungkai isu stereotaip, isu gangguan seksual, isu diskriminasi dan yang lain-lain.

"Bagaimana masyarakat melihat potensi-potensi ini tetapi gagal menghargai bahawa wanita layak memimpin.

"Ini soal mengarusperdanakan gender, soal memastikan bahawa representasi wanita benar-benar dimaknai," katanya.

"Kita bermula dalam parti dulu sebelum ke pilihan raya untuk menyokong calon-calon wanita yang bukan sahaja kompeten tetapi mencecah kuota 30 peratus," tambahnya.

PKR sebelum ini telah memperkasakan wanita dalam politik dengan pelantikan Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti ketika Anwar dipenjarakan.

Setelah PH menang PRU14, Wan Azizah dilantik sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. .

Pada masa yang sama, Wan Azizah juga menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menurut Fadhlina menyaksikan perubahan dasar yang ketara berbanding dengan pentadbiran sekarang bawah Rina Harun.

Lebih 1.2 juta ahli parti layak mengundi secara dalam talian atau fizikal pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 22 Mei ini.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form