Berita Terkini

Negara tuju kehancuran? Politikus makin ‘gila’ kuasa


BANGI, 26 Safar 1442H, Rabu
– Apa yang berlaku di Istana Negara, semalam bukan sahaja mendedahkan kebobrokan politik tanah air, tetapi juga menunjukkan institusi diraja seolah-olah dipermain-mainkan tanpa segan silu, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Bimbang dengan perkara itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada negara sedang menuju kehancuran apabila para pemimpin sering kali berebut kuasa tanpa mengambil berat implikasinya terhadap kestabilan negara dan aspek-aspek lain.

“Apakah fenomena sebegini terjadi begitu sahaja secara kebetulan atau sebenarnya ada ‘pihak lain’ yang sedang mengatur sesuatu supaya negara bergejolak?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sejarah menunjukkan bahawa musuh akan menyerang apabila negara tidak keruan, di mana pemimpin-pemimpin sudah menjadi ‘gila’ pangkat dan jawatan sehingga rakyat pun hilang daripada tumpuan mereka. 

“Lihatlah sejarah negara mana sekali pun, zaman bila sekali pun, kita akan dapati trendnya sama. Belajarlah daripada sejarah.

“Persoalannya, jika benar ada ‘pencatur’ di belakang sana yang sedang menunggu-nunggu saat dan ketika untuk meratah negara ini, maka siapakah mereka itu?,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, mungkin rakyat tidak sedar tetapi kebarangkalian ini merupakan satu permainan musuh adalah suatu yang tidak boleh diambil remeh dan dipandang sepi. 

“Lihatlah apa yang terjadi di negara-negara jiran kita yang tiba-tiba sahaja bergolak, apakah ini satu kebetulan?,” katanya.

Pun begitu, beliau tidak mahu meletakkan kesalahan ini sepenuhnya kepada politikus semata-mata. 

Kesalahan ini juga, katanya, perlu diletakkan di bahu semua rakyat jelata kerana bertanggungjawab memilih pemimpin-pemimpin hari ini. 

“Maka, kitalah juga yang memperjudikan nasib anak cucu kita kepada para politikus ini. Kitalah yang bertanggungjawab pada nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanah air kita. 

“Kalau ada yang bertanya pada saya, apakah jalan penyelesaiannya? Maka, jawapannya ada pada setiap pengundi. 

“Kita semua mesti melihat politik dari kaca mata yang lebih luas melangkaui kerangka kepartian semata-mata, matang serta berpandangan jauh dalam menilai,” katanya.

Katanya, perubahan tidak akan berlaku jika setiap daripada rakyat masih taksub dan memilih pemain-pemain politik lama yang sudah lapuk dan luput tetapi berperangai seolah-olah politik negara milik mereka. 

Aminuddin menegaskan, rakyat harus berani membuat perubahan dan memilih pemimpin-pemimpin baharu yang berwawasan. 

“Ini termasuklah akar umbi parti-parti, supaya menaikkan tokoh-tokoh yang berwibawa dan tidak memelihara lagi ‘dinosaur-dinosaur’ politik yang rakus menerkam dan meratah rakyat.

“Perubahan ada di tangan kita semua. Fikir-fikirkanlah,” tegasnya.  - ISMAWEB


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form