Berita Terkini

Belanjawan 2021 perlu utama projek keutamaan tinggi, kata Fadillah


PETALING JAYA:
Kementerian Kerja Raya berharap kerajaan menimbangkan projek berkeutamaan tinggi yang mampu berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan positif sektor pembinaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov ini.

Menterinya Fadillah Yusof berkata, ini termasuk baki pakej projek Lebuhraya Utama Tengah (CSR) dan Jalan Kota Bharu – Kuala Krai yang masih lagi belum diluluskan, iaitu laluan antara Kuala Krai ke Gua Musang dan jajaran menghubungkan Bentong ke Karak.

“Manakala di Malaysia Timur pula, antara projek berkeutamaan tinggi yang terlibat ialah laluan ‘missing link’ menghubungkan Kuala Baram di Miri dengan sempadan negara Brunei Darussalam di CIQ Sungai Tujuh sepanjang kira-kira 5km,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mahu kerajaan memastikan projek mega yang sedang dan akan dibina seperti Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo berjalan lancar.

Di samping itu, kementerian juga memohon kerajaan mempertimbangkan sekurang-kurangnya 20 projek baru di seluruh negara, sama ada projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan 4 lorong 2 hala, atau membina jalan baru untuk menambah baik rangkaian jalan utama sedia ada.

“Kesemua cadangan projek ini telah diteliti dan diperhalusi di peringkat kementerian bersama agensi pusat berdasarkan parameter khusus. Ini termasuklah melalui proses konsultasi dengan kerajaan negeri,” katanya.

Selain projek mega dan projek baru, beliau juga mahu kerajaan memperuntukkan jumlah yang signifikan bagi projek kecil sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi.

“Walaupun sektor pembinaan dilihat kembali rancak semula selepas suku ke-3 2020, namun perjalanannya pastilah tidak lagi sama selepas berlaku wabak pandemik Covid-19.

“Ini kerana industri perlu mematuhi norma baru yang ditetapkan bagi membendung daripada berlakunya penularan wabak yang mengubah sama sekali kebiasaan hidup rakyat,” katanya.

Justeru, beliau berharap peruntukan yang signifikan disediakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menggiatkan lagi penggunaan teknologi dalam industri pembinaan.

“Ini boleh diadaptasikan melalui teknologi IR4.0 seperti robotik, automosi, data raya, internet kebendaan (IOT), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI).

“Melalui Belanjawan 2021, kementerian juga berharap dapat mengukuhkan lagi penggunaan sistem binaan berindustri (IBS), ‘building information modelling’ (BIM) dan ‘preapproved plan’ (PAP) dalam pelaksanaan projek kerajaan dan swasta bagi memenuhi aspirasi yang digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dan Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 yang bakal dilancarkan nanti.”


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form