Berita Terkini

Masih terlalu awal untuk anggap PH bakal sokong Belanjawan 2021


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata masih terlalu awal untuk mengatakan Pakatan Harapn (PH) akan menyokong Belanjawan 2021 yang dibentang Perikatan Nasional Jumaat ini.

Jelasnya, mesyuarat PH bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini baru rundingan pertama untuk menyatakan kesediaan bagi memberikan sokongan terhadap usul tersebut.

Justeru kata ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi, soalan mengenai sikap PH terhadap belanjawan berkenaan ketika ini dianggap pramatang.

“Ia satu proses... [...] ada dua isu. Satu, bajet; dan satu lagi isu keabsahan," katanya.

Menurut Saifuddin lagi mengenai belanjawan PH menyampaikan pandangan mereka kepada Tengku Zafrul dan baru memulakan langkah berkaitan.

Dia ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan berkenaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Selain Saifuddin, ada lebih 10 pemimpin PH turut menghadiri mesyuarat selama kira-kira dua jam itu. Antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Wong Chen (Subang), Tony Pua (Damansara) dan Ong Kian Ming (Bangi). 

Sementara itu, Lim pula berkata rundingan pemimpin PH hari ini hanya bagi isu ekonomi negara dan bukan berkaitan keabsahan kerajaan PN sebagai pentadbir negara.

“[...] yang pentingnya kita menghadapi tiga krisis, iaitu kesihatan (Covid-19), krisis ekonomi, tetapi paling besar krisis politik.

“Hari ini bincang dengan menteri hanya dua krisis sahaja, (iaitu) krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Krisis politik kena bincang dengan orang lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menjelaskan secara khusus enam cadangan yang dikemukakan kepada Zafrul berhubung Belanjawan 2021.

Antaranya, untuk meningkatkan peruntukan buat Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit serta memperkasa perlindungan sosial buat golongan berisiko.

Selain itu, pihak PH juga menggesa lanjutan moratorium subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021.

Tidak ketinggalan, mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion.

“Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan dan perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, pelan gentian optik dan saling hubung negara, dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form