Berita Terkini

SPAN Serbu tapak pembinaan projek lebuh raya disyaki curi air


BANTING —
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyerbu sebuah tapak pembinaan projek lebuh raya di sini kerana disyaki mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Loh Pit Mui berkata siasatan awal mendapati sambungan paip haram berkenaan dilakukan sejak Januari lepas bagi membekalkan air untuk kegunaan pekerja projek pembinaan lebuh raya itu.

“Kami kesan penyambungan paip secara tidak sah dilakukan daripada meter air di  sebuah kebun kecil berhampiran tapak pembinaan berkenaan. Sambungan paip itu kemudiannya disalurkan ke rumah kongsi pekerja.

“Ujian klorin yang dilakukan terhadap air dalam sebuah tangki rumah kongsi tersebut mendapati ia adalah air terawat sedangkan hasil semakan Air Selangor menunjukkan tiada sebarang meter air berdaftar di tapak projek itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi mengejut di tapak pembinaan berkenaan di Sungai Manggis di sini hari ini.

Menurut Loh, perbuatan menyambung paip secara haram itu telah menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM80,000.

Katanya, Air Selangor akan mengemukakan notis tuntutan kerugian penggunaan air terhadap kontraktor projek pembinaan tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

— BERNAMA


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form