Berita Terkini

Kerajaan berunding dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19, kata Khairy


KUALA LUMPUR:
Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan 8 pengeluar yang dihubungi secara terus, manakala 2 lagi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ini susulan makluman daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat 13 Nov lepas.

Katanya, terdapat beberapa rundingan yang berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

“Rundingan itu meliputi aspek kerjasama dalam pelbagai peringkat pembangunan vaksin seperti R&D, pertukaran saintis, pembangunan ‘fill and finish’ (pemindahan teknologi, logistik, cold chain), termasuk pembelian vaksin (produk akhir) sebagai jaminan akses bekalan vaksin untuk negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu sama ada kementerian itu membuat sebarang pesanan untuk mengimport vaksin daripada firma negara China seperti Cansino, Sinovac dan Sinopharm atau firma United Kingdom seperti AstraZeneca.

Beliau juga bertanya sama ada kementerian bercadang menetapkan susunan keutamaan vaksinasi Covid-19 seperti yang dilakukan di Indonesia.

Khairy berkata, menerusi penyertaan dalam COVAX, Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 10% daripada populasi negara dan kerajaan sedang berusaha mendapatkan 60% lagi untuk mencukupkan sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok hingga 70% jumlah populasi negara.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan akses vaksin seawal suku pertama atau suku ke-2 tahun depan bergantung pada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, NPRA akan memastikan sesuatu vaksin melepasi syarat ketat yang ditetapkan merangkumi soal keselamatan dan keberkesanan menerusi data ujian klinikal yang dijalankan dan hanya selepas melalui proses itu, sesuatu vaksin akan diluluskan dan keputusan untuk tempahan akan dibuat.

Sementara itu, mengenai senarai keutamaan imunisasi, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan pada 14 Okt lepas bersetuju membahagikan kepada 3 fasa keutamaan, iaitu kumpulan barisan hadapan melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bukan KKM seperti polis, tentera, Jabatan Imigresen dan lain-lain.

Ke-2 ialah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai co-mobid dan warga emas serta kumpulan ke-3 melibatkan populasi dewasa yang lain.

Beliau berkata, perincian lanjut kumpulan itu sedang dibuat dan dijangka diumumkan seawal suku pertama tahun depan.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

Previous Post Next Post

Contact Form