Berita Terkini

Cabaran demokrasi di Malaysia: Rakyat mungkin hilang kepercayaan


Amalan ideal dalam demokrasi ialah semua pemain di medan politik berpegang kepada prinsip-prinsip asas demokrasi yang antara lain menegaskan perlunya pemilihan seseorang wakil rakyat dalam pilihan raya dibuat bagi benar-benar mewakili kehendak atau kemahuan rakyat yang memilihnya.

Apabila mereka yang terpilih melompat daripada satu parti ke parti lain selepas pilihan raya yang boleh membawa kepada pertukaran pemerintah, ia adalah pencabulan kepada hasrat dan kehendak rakyat yang memilih dalam sistem tersebut.

Akhirnya, rakyat akan hilang kepercayaan kepada sistem itu – demokrasi -dan ini menimbulkan semacam sikap tidak peduli dalam kalangan rakyat untuk menyertai sistem demokrasi secara aktif khususnya dalam soal memilih parti yang akan membentuk kerajaan semasa sesuatu pilihan raya sedang berjalan.

Barangkali fokus masyarakat sivil nanti tidak lagi kepada aktivisme politik tetapi aktivisme masyarakat menerusi badan-badan bukan kerajaan. Walaupun saiz masyarakat sivil semakin membesar dan signifikan dalam negara peranannya akan lebih kepada membangkitkan kesedaran sivil bagi menuntut polisi-polisi yang memelihara hak dan kepentingan rakyat secara umum ketika para politikus sibuk mengejar kuasa dan kemasyhuran.

Di Malaysia di mana konstituensi pengundi agak rencam tetapi majoritinya tergolong di dalam kelompok “materialis” seperti disaran oleh sarjana politik, agak sukar berlaku satu penolakan besar-besaran kepada penyertaan dalam pilihan raya kerana pihak-pihak yang bertanding akan terus menjanjikan habuan materialis sekiranya menang.

Walaupun wujud sekelompok masyarakat yang celik politik dan prihatin kepada persoalan-persoalan selain isu makan minum, pendapatan dan lain-lain bentuk kebendaan, amalan pilihan raya akan terus menjadi amalan utama menentukan siapakah yang akan mentadbir negara.

Dalam negara seperti Malaysia yang masih dikategori sebagai sebuah negara “membangun” dengan pembangunan politiknya masih ketinggalan berbanding kebanyakan negara maju dan membangun yang lain, “pemboikotan” ahli-ahli politik yang tidak menghayati lunas dan nilai demokrasi ideal tidak mungkin terjadi.

Ini didasarkan kepada budaya politik sedia ada. Budaya politik yang telah berakar umbi atas beberapa nilai tertentu dengan yang paling utamanya ialah etnisiti dan kaum. Malah setiap kali isu berkait kaum dan etnisiti dibangkitkan, walaupun secara sengaja sebagai umpan para politikus untuk menarik sokongan kelompok kaum atau etnik tertentu, pastinya ia akan mendapat sokongan massa daripada kelompok kaum dan etnik berkenaan.

Sentimen primordial tetap menebal dalam masyarakat Malaysia dan ini tidak khusus pada kelompok kaum atau etnik tertentu. Itulah sebabnya kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat bertahan lama hasil kegagalannya menangani sentimen tersebut secara berkesan.

Malah sepanjang kebangkitan politik alternatif di Malaysia yang diwakili mulanya oleh Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan, isu-isu kaum, agama dan etnik telah mendominasi lanskap persaingan politik yang berkesudahan dengan tertewasnya politik alternatif tersebut sekali gus meletakkan sistem demokrasi di Malaysia pada sudut yang tidak kukuh.

Apakah kebosanan masyarakat sivil akan semakin melebar di luar kelompok itu masih perlu diperhatikan. Jika ia terjadi demokrasi ala Malaysia akan hanya menjadi gurauan dalam kalangan negara-negara lain.

DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form