Berita Terkini

Kemaluan diramas tedung


Terdapat sebuah manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden berjudul Syair Raja Tedung dan Raja Katak. Syair ini satira politik mengisahkan krisis politik orang Melayu pada awal kurun ke-18.

Pada 1721, Sultan Johor, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah membuat muafakat dengan 5 orang putera Bugis. Namun, mengapakah Sultan Sulaiman membelakangkan rakyatnya, orang Melayu dan bergagasan secara sejahteranya dengan putera Bugis?

Kita mesti ingat, tatkala itu; Bugis tidak dianggap sebagai Melayu

Begini, Sultan Sulaiman putera kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Syah. Ayahandanya perdana menteri kepada Sultan Mahmud Syah yang zalim, homoseks, dan simbol tirani orang Melayu. Apabila Sultan Mahmud mangkat dalam keadaan dijulang yakni ketika ditandu untuk ke masjid bersembahyang Jumaat, rakyat yang marah membiarkan jasad Sultan Mahmud dalam keadaan telanjang dan digantung di masjid selama 3 hari.

Oleh keadaan huru-hara, bendahara atau perdana menteri ketika itu tidak mempunyai pilihan lain melainkan menerima saranan agar ditabalkan sebagai raja. Bonda Sultan Mahmud, yang malu anaknya seorang homoseks dan gila, membuat satu propaganda yang puteranya itu sebetulnya berkahwin dengan jin atau mambang.

Malah pendokong Sultan Mahmud yang terkejut melihat rakyat menjatuhkan baginda sedemikian rupa menyusun kempen agar takhta Johor dapat dikembalikan. Sultan Abdul Jalil yang ingin melakukan reformasi tidak mendapat sokongan dalam kalangan istana.

Tersebar kempen oleh pendokong Sultan Mahmud, yang baginda ada melakukan hubungan seks di saat akhir dengan seorang gundik dan beroleh zuriat lelaki yang namanya Raja Kecil (Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah). Sejak itu kempen untuk mengangkat Raja Kecil yang merupakan hasil persetubuhan haram seorang gundik dengan Sultan Mahmud diketengahkan. Raja Kecil yang ditampilkan sebagai boneka mendapat bantuan Orang Laut.

Tatkala itu, tanpa bantuan Orang Laut sukar untuk seseorang raja itu dapat menegakkan kerajaan yang stabil. Ini kerana Orang Laut menguasai pesisir pantai, iaitu sumber kekayaan Johor-Riau dan juga mengawal segala hubungan inter-wilayah serantau yang kompleks.

Raja Kecil bagaimanapun berjaya mengusir Sultan Abdul Jalil yang terpaksa melarikan diri ke Pahang dan dibunuh di sana. Maka gagallah satu usaha reformasi orang Melayu yang pertama.

Pengganti Sultan Abdul Jalil Syah adalah anakandanya, Sultan Sulaiman yang menerima aib kerana tidak mampu mempertahankan bapanya sendiri. Kumpulan yang ingin mengembalikan keturunan Sultan Mahmud yang korup ini menyebarkan propaganda ibu Sultan Sulaiman hamba bernama Nusamah (ingat, mereka bukan keturunan raja pun) yang ditebus dengan tudung periuk emas.

Malah terdapat cerita konon Nusamah ini anak seorang tukang urut dan bermacam lagi, sehingga sanak-saudara Sultan Sulaiman sendiri tidak mahu mempunyai apa-apa pakatan dengan baginda lantaran malu. Sedangkan sebenarnya penggulingan Sultan Mahmud pada 1699 itu menyediakan satu harapan untuk orang Melayu.

Oleh sebab itu pada 1721, Sultan Sulaiman yang ingin kekal berkuasa terpaksa melakukan satu perikatan dengan putera Bugis yang sememangnya lapar kuasa. Hasil muafakat ini, membolehkan Opu Kelana Jaya Putera diangkat menjadi Yang Dipertuan Muda di Johor-Riau.

Untuk membolehkan perikatan ini kekal, puak Bugis ini menggunakan pendekatan kuku besi di Johor-Riau dan khusus memperkenalkan ajaran-ajaran Islam yang rigid. Para ulama Bugis seperti Raja Ali Haji dipanggil untuk mengarang pelbagai kitab agama demi mengukuhkan doktrin raja adalah bayang-bayang Allah di muka bumi. Dari mufti dia dapat menjadi menteri.

Kempen Raja Ali Haji malah begitu kuat sekali sehingga beliau menulis Tuhfat al Nafis untuk memuja-muja kepimpinan Bugis. Di sinilah mulanya penggunaan agama Islam secara berleluasa untuk menghalalkan satu-satu pentadbiran atau kerajaan. Raja Ali Haji ikut mengarang Thamarat al-Muhimmah. Bugis menekankan Islam jalur keras dalam pemerintahan.

Penentangan orang Melayu terhadap campur tangan Bugis, atau kebodohan Sultan Sulaiman yang mengundang Bugis ke Johor inilah dapat ditemukan dalam Syair Raja Tedung dan Raja Katak.

Syair sebagai satira politik mengambil watak Raja Ular Tedung, yang menenggek dan menganiayai Raja Katak oleh kebodohannya, lantas di akhir berhasil menguasai negeri Katak. Segala nasihat dan teguran orang sekeliling khusus daripada Menteri Tua tidak diendahkan oleh Raja Katak. Akibatnya rakyat katak mengalami kerugian, menjadi mangsa makanan ular dan kehilangan negeri.

Dalam syair ini digambarkan Raja Ular Tedung yang menyamar baik, berpura-pura dan menawarkan konon ilmu politik yang berguna kepada Raja Katak. Sebagai balasan tentulah Raja Ular Tedung menuntut sesuatu yang bukan calang. Habuan yang diminta bukan sedikit tetapi adalah korban yang geruh, di dalam Syair ini disebut:

Menjawab tedung dengan sukanya

Tidaklah banyak tuanku upahnya

Dua ekor katak sahaja adanya

Tuanku izinkan patik memakannya.

Raja Ular Tedung menawarkan kebesaran dirinya agar rakyat katak mendengar kata dan tidak mempersendakan baginda Raja Katak. Caranya ialah dengan Raja Katak bertakhta di atas panggung kepala ular itu. Jika mereka ke mana-mana, rakyat katak akan gerun dan akur menyembah.

Tidak syak lagi inilah taktik Sultan Sulaiman apabila menggunakan khidmat putera Bugis. Kehebatan Bugis sebagai perompak di laut cukup untuk menjadi buah mulut dalam kalangan Orang Laut dan boleh menundukkan mereka. Harapan Sultan Sulaiman, strategi ini akan menjadi dan membolehkan dia memulihkan wibawanya yang terjejas teruk.

Ketika Bugis melebarkan pengaruh politik mereka di Johor-Riau tatkala abad ke-18 itu jawatan Yang Dipertuan Muda diperkenalkan. Kedudukan itu menjadi kenderaan Bugis untuk menunggang orang Melayu. Malah Sultan atau Yam Tuan Besar diperlekehkan sehingga tidak ada fungsi. Teks Silsilah Melayu dan Bugis memerikan keadaan ini dengan begitu menjolok mata:

“Dan lagi pula Yam Tuan Besar (sultan) jadi seperti perempuan saja, jika diberinya makan maka baharulah makan ia. Dan Yam Tuan Muda (YDPM) jadi seperti laki-laki. Dan jika datang satu-satu hal atau apa-apa juga bicara, melainkan apa-apa kata Yam Tuan Muda.”

Perlahan-lahan kuasa Bugis menguasai istana Johor dan pengaruh Orang Laut terlontar ke tepi. Selepas kemangkatan Sultan Sulaiman usaha membaiki keadaan ini diteruskan oleh orang Melayu. Namun demikian, anakanda baginda yang juga bernama Sultan Abdul Jalil (atau dikenali Raja di Baroh) turut kehilangan kawalan.

Selain beliau dinikahkan dengan Raja Maimunah (anak Daeng Parani) baginda juga lemah bawah telunjuk Daeng Kemboja iaitu Yang Dipertuan Muda ketika eranya. Ini bermakna bukan sahaja Melayu dicengkam kuasa di luar, dalam kain pelikat tuanku sendiri buah zakar baginda diramas Bugis.

Selepas kemangkatan Raja di Baroh, Daeng Kemboja terus menggenggam Johor dengan menabalkan Raja Ahmad anakandanya sebagai sultan. Terdapat bait dalam syair Raja Tedung dan Raja Katak memperihalkan usaha suku Melayu untuk merampas semula kepimpinan istana dengan menabalkan mana-mana adik-beradik Raja di Baroh seperti Tengku Abdul Kadir, Tengku Buang, dan Tengku Osman.

Namun demikian usaha mereka gagal, malah Daeng Kemboja yang sedar Sultan Ahmad mungkin berpihak kepada bapa-bapa saudaranya dengan pantas menabalkan Raja Mahmud, adindanya yang masih terlalu kecil sebagai Sultan. Ini supaya sultan yang masih muda kekal bawah kuasa dan kawalan Bugis.

Apa yang lebih mengejutkan ialah terdapat naratif lain mengenai penabalan Sultan Mahmud dan kemangkatan Raja di Baroh ini. Terdapat dakwaan Raja di Baroh dibunuh Daeng Kemboja, dikebumikan di Riau yang mana ditabalkan Sultan Ahmad dalam keadaan tergesa-gesa. Setelah menyedari Sultan Ahmad yang remaja itu menunjukkan kearifan yang baik, Daeng Kemboja meracun pula baginda dan menaikkan Sultan Mahmud.

Pengaruh dan tindak-tanduk Bugis yang berleluasa ini berterusan apabila usaha orang Melayu untuk mendapatkan kuasa sekali lagi digagalkan apabila Sultan Mahmud pula mangkat.

Puak Bugis menunjukkan Tengku Abdul Rahman sebagai pengganti dan menafikan lobi dan usaha kaum Melayu untuk menaikkan Raja Husin meskipun terdapat wasiat Sultan Mahmud agar Raja Husin yang diberi peluang. Untuk menjadikan kenyataan, puak Bugis memaksa Tengku Abdul Rahman menerima jawatan tersebut dengan cara kekerasan iaitu mengerahkan tentera agar baginda akur. Ini misalnya dapat ditelitikan menerusi surat Tengku Abdul Rahman kepada William Farquhar.

Keadaan ini tentunya tidak akan melarat jika Sultan Sulaiman di awalnya tidak melakukan strategi bertenggek atas kepala ular ini.

Masalah kepimpinan yang menimpa umat Melayu setelah itu bertimpa-timpa. Ini kerana kemasukan tedung ke Johor dan menjadi raja itu ikut mengucar-ngacirkan negeri-negeri Melayu yang lain.

Ini kerana kuasa Bugis ini ikut campurtangan di Kedah ketika zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710-1718) di mana sekali lagi usaha untuk menaikkan putera raja yakni Tunku Anjang dan Tunku Long Putera. Sekali lagi campur tangan Bugis merosakkan kedamaian politik Melayu di Selangor yang mana Daeng Chelak selaku YDPM membantu Bugis di negeri itu menentang Perak, dan Siak. Kuasa Bugis malah menyusup di Selangor menerusi penabalan Raja Lumu di Kuala Selangor.

Kembali kepada Syair Raja Tedung Dan Raja Katak, pengarang syair tidak hanya menyalahkan raja yang bodoh seperti Raja Katak. Dalam hal ini ular berjaya masuk dalam negeri kerana rakyat sama sekali tidak membantah, malah ramai yang bodoh menurut sahaja apa yang terjadi.

Pada mulanya rakyat katak pasrah akan tetapi perlahan-lahan mereka pun sedar ini adalah kerajaan yang tidak mereka inginkan dan tidak mereka perlukan.

FAISAL TEHRANI

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form