Berita Terkini

Didakwa cuba sogok Ku Li, Lokman Adam gesa Muhyiddin letak jawatan


KUALA LUMPUR, 15 Okt —
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas hilang lagi dua undi ahli parlimen Barisan Nasional (BN).

Lokman berkata, pendedahan surat ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah semalam dan pendirian ahli parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin menyebabkan kerajaan sekarang hilang sokongan majoriti.

“Kenyataan Datuk Seri Nazri yang menyatakan beliau tidak lagi menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan pendedahan surat permohonan usul persendirian Tengku Razaleigh untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin adalah manifestasi jelas Muhyiddin telah kehilangan dua undi ahli parlimen dari BN dan kini tinggal kurang dari 111 ahli parlimen yang menyokong beliau sebagai perdana menteri,” catatnya di Facebook.

Katanya itu tidak termasuk Umno yang meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

“Sekiranya Muhyiddin masih lagi mempunyai sedikit maruah pada dirinya, sewajarnya beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan mengakui kerajaan Perikatan Nasional sudah tumbang,” katanya.

Semalam tular surat Tengku Razaleigh kepada speaker Dewan Rakyat bertarikh 25 September lalu, menggesa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin segera dibahaskan.

Razaleigh, lebih dikenali Ku Li mendakwa kerajaan PN menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Beliau juga mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan penasihat Petronas kepadanya tetapi ditolaknya.

“(Penolakan) kerana prihatin terhadap Perkara 48(1)© Perlembagaan Persekutuan berkaitan ‘hilang kelayakan menjadi ahli parlimen’ sekiranya ‘memegang sesuatu jawatan berpendapatan’,” katanya.

“Penyogokan politik menyebabkan demokrasi berperlembagaan kita menghadapi cabaran serius. Saya khuatir sama ada demokrasi berperlembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi.”

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form