Berita Terkini

Bekerjasama dengan Umno baik untuk imej Melayu DAP, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berkata, imej DAP dalam kalangan pengundi Melayu dan persepsi mereka terhadap parti itu boleh diperbaiki, jika ia setuju bekerjasama dengan Umno di bawah kerajaan pimpinan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Anwar ialah pemimpin yang dilihat mampu mencari satu bentuk keterangkuman politik dan politik Malaysia tidak lagi perlu berpusat kepada etnik atau agama, sebaliknya mengenai kerakyatan.

“Jika DAP menolak kerjasama dengan Umno (di bawah kerajaan pimpinan Anwar), ia akan memberi persepsi salah kepada orang Melayu dan institusi diraja Melayu. DAP perlu mengelak daripada menghantar mesej atau persepsi DAP tidak boleh bertolak ansur dengan kerajaan Melayu-Islam yang dipimpin Anwar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, DAP hanya boleh memenangi banyak kerusi bukan Melayu marginal disebabkan PKR dan parti itu bertanding di bawah panji parti Anwar pada Pilihan Raya Umum 2018.

Dengan asas sokongan DAP yang dilihat semakin tepu, beliau berkata, ia seolah-olah tidak mampu meningkatkan jumlah kerusi mereka tanpa sokongan PKR.

“Sokongan orang Melayu akan menentukan masa depan DAP kerana jika DAP mahu menambah kekuatan dari segi jumlah kerusi, mereka memerlukan sokongan orang Melayu di kawasan campuran.

“Jadi, tiba masanya DAP mengambil peranan progresif untuk menggantikan MCA, MIC serta Gerakan. Dan mereka perlu lebih sederhana untuk diterima etnik lain, khasnya Bumiputera di negara ini.”

Beliau berkata, politik Malaysia perlu sejajar populasi negara, di mana Bumiputera terdiri daripada kira-kira 60%, untuk meningkatkan keharmonian antara kaum dan membangunkan negara dengan lebih baik.

“Rakyat mahukan kestabilan politik dan penglibatan pelbagai etnik untuk pembangunan negara yang lebih stabil.”

Bagaimanapun, penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, DAP akan dilihat sebagai oportunistik, jika parti itu bekerjasama dengan ahli Parlimen Umno di bawah Anwar.

“Dan, kesannya, ahli Parlimen Umno yang bekerjasama dengan DAP akan dianggap pengkhianat orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Walaupun kedua-dua parti itu bekerjasama, beliau berkata, satu-satunya cara bagi DAP meningkatkan popularitinya dengan pengundi Melayu ialah jika Umno mengatasi musuh lama.

“Jika kerjasama itu setara, ini tidak akan meyakinkan orang Melayu. Sebaliknya, jika kerjasama itu berdasarkan ahli Parlimen Umno secara individu dan bukan Umno sebagai sebuah organisasi, maka impak terhadap imej DAP tidak begitu besar.”

Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, 42 ahli Parlimen parti itu akan memberikan sokongan kepada Anwar, jika benar presiden PKR itu mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Namun, ketika berkempen untuk Warisan di Sabah seminggu kemudian, beliau berkata, DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno selagi parti itu masih di bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Susulan pengumuman awal Anwar, Zahid yang juga presiden Umno berkata, beliau dimaklumkan ramai ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dan beliau tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.

Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form