Berita Terkini

Selagi rambut Saddiq masih lebat bergaya


Saya memang cemburu dengan rambut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lebat bersinar. Saya sudah hampir tiada rambut, maklumlah; tua meski baru 36 tahun usia. Ditambah dengan faktor keguguran rambut seawal tingkatan satu kerana sentiasa perlu bersongkok di sekolah.

Tapi itulah dia, rambut Saddiq lawa. Dan itulah juga tempat letak kesaktian seorang Syed Saddiq. Sepertimana kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf “ta”.

“Oleh kerana huruf ‘ta’-lah yang menguatkan ejaan Tuah; ta, wau, alif, ha. Cuba huruf ‘ta’ digantikan dengan huruf ‘ba’?” soal Seniman Negara Tan Sri P Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang .

“Hang Buah,” jawab ahli nujum negara Masai.

Salah satu babak dalam filem Nujum Pak Belalang

Begitulah juga halnya dengan rambut Syed Saddiq. Seandainya beliau botak, hilanglah saktinya. Justeru selagi masih ada rambut yang lebat bergaya itu, selagi itulah beliau dikira muda dan memiliki aura yang menjadi kesukaan ramai.

Dan selagi itu lah Saddiq boleh menjuarai politik kaum muda.

Muda lawan tua

Pertembungan pemikiran tua-muda bukanlah perkara baharu bahkan telah berlangsung sejak zaman berzaman apabila berlakunya transisi antara generasi. Pada zaman prakemerdekaan misalnya, kita telah melihat pertembungan ini berlaku antara gerombolan ulama tanah air dalam soal kaedah dan pendekatan fikah yang berbeza-beza.

Pertembungan ini kemudiannya berkemuncak dengan penubuhan Hizbul Muslimin pada 1948 pimpinan Abu Bakar Al-Baqir, yang kemudiannya diharamkan British. Untuk menyelamatkan diri daripada tindakan British, ada anggota parti itu yang menyertai Umno, dan kemudiannya bertindak keluar parti bagi menubuhkan Parti Islam Se-Malaya, PAS.

Kerjasama Umno-PAS diabadikan dalam bentuk lukisan

PAS menyertai kerajaan BN pada tahun 1974, malah merupakan salah satu parti pengasas BN setelah negara pulih daripada tragedi 13 Mei 1969. Pun begitu, PAS hanya bertahan selama empat tahun sahaja dan memutuskan untuk meninggalkan BN pada tahun 1978.

Nak dijadikan cerita, PAS kini kembali berada dalam dakapan BN dan sedang selesa memfaraid jawatan GLC dalam struktur kerajaan persekutuan pimpinan Muhyiddin Yassin, 42, selepas ia memutuskan hubungan dengan parti yang dimusuhinya sedemikian lama.

Dalam menuju kursi kuasa bersama BN-Umno itu pula, PAS juga melalui pertembungan tua muda antara pasukan ‘Erdogan’ dengan pasukan konservatifnya; yang berakhir dengan perpecahan parti itu dan penubuhan parti Amanah.

Pertembungan ternyata melahirkan pembaharuan. Tetapi penting untuk kita belajar menguruskan pertembungan tersebut supaya hasilnya adalah sesuatu yang benar-benar memberi manfaat. Bukan main langgar sahaja.

Parti muda Syed Saddiq

Terbaharu dalam persoalan pertembungan tua-muda ini adalah kemunculan sebuah pergerakan anak muda yang mahu merangkul semangat zaman dan menyatakan kesediaan untuk mengambil alih tugas membaiki negara daripada tangan-tangan tua yang telah puluhan tahun membawa tiada lain bahkan kerosakan kepada tanah air tercinta.

Setidak-tidaknya begitulah falsafah yang dikemukakan di media sosial. Ikuti sahaja tanda pagar #MasaKita untuk menanggapi usaha anak-anak muda ini menyusun gerakan bagi membentuk sebuah platform perjuangan sendiri, tanpa campur tangan orang tua-tua yang pada mereka adalah punca segala punca.

Di Indonesia, usaha Saddiq dan kawan-kawan boleh juga ditemukan dalam penubuhan parti politik muda seperti Partai Solidaritas Indonesia (PSI) (bawah).

Ketua Umum PSI Grace Natalie

PSI dipimpin orang muda juga, walaupun sekarang sudah sudah tidak begitu muda. Ketua Umumnya, Grace Natalie adalah seorang personaliti televisyen. Pimpinannya dibarisi wajah-wajah tampan bergaya dari segala macam demografi termasuk santri, feminis, usahawan, peguam, mahasiswa segala bagai.

Semuanya juga tidak boleh terpalit rasuah, atau punya rakam jejak dalam parti politik lainnya. Muda, segar dan bergaya; demikianlah PSI, sebuah parti yang menggunakan panggilan “bro” dan “sis” sesama mereka.

Tetapi itu PSI-lah. Parti politik yang dilihat sekadar satu wadah baharu untuk mereka yang mendukung Jokowi tanpa perlu dibayangi bagasi korupsi parti-parti politik sedia ada.

Di Malaysia tentunya sama sekali berbeza. Walaupun sebenarnya lebih kurang sama.

Andaikan kita mahu tubuhkan sebuah parti politik baharu, di tengah-tengah kemelut politik yang telah menghabiskan lebih separuh tahun 2020 ini; apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan?

Antara lain, yang memerlukan konsiderasi panjang ialah orang bagaimanakah yang akan menyokong parti kita itu, tidak kira sokongan secara politik, kata-kata semangat, ataupun dukungan kewangan.

Itu belum lagi kita memikirkan pasaran pengundi mana yang ingin diterokai, dan untuk tujuan apa kita secara spesifik mahu meneroka kelompok pengundi tersebut; dan apakah kebarangkalian penerimaan (atau penolakan) kelompok tersebut terhadap parti kita yang baharu itu.

Bukan senang sebenarnya mahu buat parti politik baharu. Nampak sahaja mudah, tapi pergelutan di sebalik tabir bagi memberi nyawa kepada sebuah organisasi politik bukanlah seperti menubuhkan sebuah kelab mengumpul setem atau persatuan guli di kampung-kampung.

Masalah-masalahnya

Yang menjadi masalah dengan parti khusus usia atau generasi adalah betapa terhadnya khalayak yang menjadi sasarannya; ini termasuklah sebagai rekrut anggota, kader kepimpinan, pengundi, aktivis dan sukarelawan parti dan lain-lain lagi. Ini sebabnya ramai bertanya soal had usia (jika ada) dan apa terjadi apabila had itu dicapai.

Sepatutnya sebarang pendekatan politik dalam tahun-tahun mendatang adalah lebih inklusif, ketimbang memisah-misahkan masyarakat dengan sempadan-sempadan usia.

Kemudian timbul soal kerusi. Dan kemudian soal dana.

Sebagai sebuah parti baharu, yang khabarnya akan menjadi sekutu Pakatan Harapan; tentunya akan ada ramai anak muda penuh cita-cita yang akan mahu bertanding dan tidak mahu kalah. Takkanlah masuk parti anak muda kerana hanya mahu berbincang soal kebijakan negara. Mestilah bertanding dalam pilihan raya kan?

Soalnya siapa yang akan perlu mengorbankan kerusi mereka untuk memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat muda ini? Adakah parti-parti sedia ada tidak mempunyai kader pimpinan muda masing-masing untuk diketengahkan?

Daripada 222 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan, gabungan PH Plus sendiri pun tentunya mempunyai senarai panjang bakal calonnya untuk ditempatkan di kerusi-kerusi boleh menang. Sekiranya parti Saddiq mengemukakan senarai calon muda aktivis sosial “Gelembung Bangsar” yang lebih selesa berbahasa Inggeris, adakah semuanya akan diletakkan di kerusi-kerusi urban?

Manifestasi Gelembung Bangsar dalam bentuk sebuah parti politik adalah perkara terakhir yang diperlukan dalam usaha menawan kerusi-kerusi majoriti Melayu dan mencairkan pengaruh sentimen kosmetik “perpaduan Melayu-Islam” yang menjadi modal mudah politik kerajaan Muhyiddin.

Kawasan kejiranan Bangsar, gambar hiasan

Hakikatnya pengundi di Malaysia tidak melihat sesuatu yang baharu sebagai sesuatu yang pasti dan ‘solid’ justeru mereka tidak berahi memilih pembaharuan. Demikian sebabnya kita melihat kekalahan Pejuang di PRK Slim, dan kekalahan Amanah di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar beberapa tahun lalu.

Bukannya mustahil untuk kita menjual sebuah produk baharu, namun ia akan mengambil masa dan memakan sumber -- yang belum tentu kita ada. Paling tidak pun Saddiq dan kawan-kawan akan harus menunggu lima tahun lagi. Sementara menunggu, yang muda pun sudah perlahan-lahan beransur tua.

Sebenarnya parti Saddiq hanya boleh berkembang biak selagi mana rambutnya lebat bergaya, dan mampu bertegas untuk tidak menerima dana mahupun nasihat daripada ‘kaum tua’ yang tidak disukainya, dan bermain dalam kerangka politik tua.

Bukanlah maksudnya parti Saddiq ini langsung tidak ada potensi. Namun untuk memberi kesan yang besar dalam sela masa yang singkat, Saddiq dan kawan-kawan belum menemukan x factor yang diperlukan.

Adalah lebih baik barangkali bagi Saddiq untuk isi borang DAP sahaja.

IZMIL AMRI


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form