Berita Terkini

Melihat politik matang Malaysia dari mata OKU


Mat Noq terus menyatakan pendapatnya sebaik saya mengaku bekerja sebagai wartawan. Mat Noq itu bukan nama sebenar lelaki yang saya temui. Sengaja saya sembunyikan nama dia.

Walaupun cacat penglihatan, kata Mat Noq, dia tidak buta politik.

Dia terus melontar hujah-hujah berkisar senario politik negara. Ia berbaur luahan peribadi yang dipendam.

"Serabut politik sekarang," tegasnya sambil menekan urat bahagian tulang kipas saya. Sudah 20 tahun Mat Noq mencari makan dengan mengurut. Pada usianya awal 40-an, Mat Noq enggan melihat Malaysia dipimpin golongan tua.

"Dah ramai sekarang orang muda yang cerdik, bertenaga, dan boleh membawa negara ke arah lebih berdaya saing. Tak kira parti mana pun, yang penting bagi orang mudalah pula," katanya.

Dengan loghat Kedah yang pekat Mat Noq berkata zaman sekarang sudah berubah dan masa untuk ahli politik tua sudah berlalu.

"Cukuplah dok melalak, gila kuasa sebab nak cari kesenangan.

"Macam sorang ahli parlimen di Perak tu, tak payahlah. Kita tengok pun meluat noh, cukuplah... bagi orang muda," katanya.

Boleh menjadi kalau kena gaya

Saya mengeyakan saja kata-kata Mat Noq sambil menahan sakit kesan picitannya. Dan saya tanya Mat Noq: siapa orang muda yang bagus kita ada?

Kata Mat Noq, ramai dah ada sekarang. Dia menyebut beberapa nama termasuk Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Abdul Rahman atau yang senior sedikit: Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Rafizi Ramli.

"Orang muda macam depa patut bergabung tenaga, singkirkan orang politik yang dah tua-tua. Cukuplah, zaman depa dah berlalu.

"Kami orang buta ini pun boleh nampak, boleh sedar. Mentaliti rakyat kena ubah, bukan duduk berkelai (berkelahi).

"Ini tidak, pemimpin buat salah pun depa pakat dok back up... jahanam!" katanya disusuli ketawa kecil.

Kata Mat Noq lagi, bagus juga kalau ada parti untuk orang muda - macam disebut Syed Saddiq itu - ditubuhkan di negara ini.

Sekurang-kurangnya, kata Mat Noq, ada ruang dan pilihan baru. Dan kalau kena gayanya - menjadi.

Orang muda katanya, patut diberi peluang dengan lebih terbuka ketika golongan terbabit semakin ke depan dalam segenap segi.

Seterusnya Mat Noq melontar pendapatnya berhubung isu-isu melibatkan kebajikan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya.

Banyak hal kena buat

Dia membangkang keras desas-desus kerajaan akan meningkatkan jumlah wang bantuan kepada OKU daripada apa yang ada sekarang kepada RM1,000 seorang.

Inisiatif itu katanya akan membuatkan golongan OKU malas berusaha di sebalik kekurangan yang ada pada diri masing-masing.

"Nak bagi bantuan banyak begitu boleh, tapi pastikan kepada golongan OKU yang betul-betul tak boleh buat kerja.

"Kalau bagi semua, ramai yang akan jadi 'naik lemak'. Tak payah jadi tukang urut macam saya pun boleh hidup.

"Golongan macam kami patut beri pancing untuk mengail, bukan beri ikan," katanya berkias.

Selain itu sebagai pengusaha kedai urut, Mat Noq dan rakan-rakannya turut berdepan cabaran dalam menghadapi karenah birokrasi.

Misalnya menurut Mat Noq lagi, kerajaan pernah tawarkan geran bantuan kepada golongan OKU yang mahu menjalankan perniagaan.

Namun jelasnya, ia tidak semudah membaca surat tawaran yang diterima, sebaliknya mereka perlu berbekalkan segunung sabar.

"Saya mohon geran untuk buka kedai ini, banyak hal kena buat. Panjat tangga pejabat itu agensi ini. Kejap pegawai cuti bersalin, berbulan kena tunggu. Itu belum cerita pasal telefon tidak berjawab. Buat itu nak ini, buat ini nak itu.

"Lepas tangguh, tangguh lagi. Lebih tiga tahun menunggu baru selesai. Itu pun kita pakai surat sokongan 'orang besar' juga. Contoh perkara macam ini yang tidak patut berlaku.

"Tak kiralah agensi atau jabatan mana sekali pun. Jangan ingat kami orang buta tak tahu prosuder. Silap besaqlah," tambahnya sambil ketawa kecil.

Justeru, berdasarkan kisah Mat Noq itu, semua pihak perlu melihat setiap hal yang berlaku dalam negara ini dengan penuh kematangan.

Baik orang politik, pemimpin atau kakitangan kerajaan, rakyat dan seluruhnya masih berada di takuk lama. Jiwa yang dibungkus dengan emosi menjadi racun tanpa sedar.

Salam kemerdekaan kali ke-63 buat seluruh pembaca, daripada Mat Noq dan penulis.

N FAIZAL GHAZALI


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form