Berita Terkini

Perjuangan politik usaha sia-sia?


Apabila segala usaha tidak mendatangkan hasil walaupun setelah bertahun-tahun berjuang, maka akan ada ketikanya seseorang boleh terfikir mungkinkah apa yang dilakukannya sesuatu yang sia-sia. Maknanya tidak akan berlaku perubahan, walaupun diusahakan bersungguh-sungguh.

Bukanlah bermakna perubahan langsung tidak berlaku. Perubahan tetap berlaku, cuma ia berlaku mengikut perkembangan sendiri dan tidak bergantung kepada usaha seseorang atau sekumpulan pejuang.

Tentulah Malaysia pada hari ini sudah jauh berbeza, berkembang dan maju berbanding ketika Tanah Melayu mula mencapai kemerdekaan. Perubahan itu berlaku dalam banyak aspek, tetapi masalah perkauman terus tidak dapat diselesaikan, walaupun generasi sudah berganti.

Maknanya perubahan berlaku, tetapi ia tidak mengikut apa yang dihajati atau diperjuangkan mereka yang berusaha. Kesan-kesan usaha mungkin ada, tetapi ia tidak menepati jalan yang dirintis. Malah, dirasakan perubahan mempunyai jalan sendiri yang tidak menurut apa dirancang manusia.

Contoh lain pula ialah apabila pihak pembangkang di negara ini, sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 berusaha bertahun-tahun dan bersungguh-sungguh menentang Umno, dan akhirnya berjaya dalam Pilihan Raya Umum 2018, parti itu dapat dikalahkan buat pertama kali dalam sejarah.

Tetapi, kerajaan baru hanya dapat bertahan 22 bulan dan Umno kembali menjadi sebahagian daripada pihak berkuasa pada 2020. Tidakkah keadaan ini dapat dilihat perjuangan pembangkang selama bertahun-tahun itu sesuatu yang sia-sia?

Begitu juga kalau dilihat dari segi dasar kerajaan, paling ketara ialah Dasar Ekonomi Baru. Matlamat dasar ini adalah membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Walaupun banyak pencapaian diperolehi, tetapi kemiskinan tidak dapat dibasmi sepenuhnya dan masalah masyarakat berkaitan perpaduan sebaliknya bertambah.

Kecewa atau putus harapan mungkin sikap pesimis apabila mendapati segala usaha tidak mendatangkan hasil. Ia merupakan sikap negatif yang tidak akan menyumbangkan kepada perubahan dan kemajuan. Lawannya ialah sikap optimis dan positif.

Tetapi, sukar untuk mempunyai sikap optimis dan positif dalam keadaan tertentu seperti yang sedang berlaku ketika ini. Dalam hal ini, seseorang boleh melihat cabaran yang dihadapi dunia pada waktu ini.

Cabaran paling besar dan utama yang dihadapi dunia ketika ini ialah ancaman Covid-19. Walaupun terdapat tanda-tanda berkurangan, tetapi di banyak tempat ia terus bertambah serius. Di Malaysia, ia masih tidak dapat mencapai angka sifar bagi kes baru.

Dengan cabaran ekonomi yang masih tidak menentu, maka dapat dirasakan usaha bertahun-tahun menjadi sia-sia kerana setahun pandemik Covid-19 melanda, ia merosakkan pelbagai industri, khususnya pelancongan dan pengangkutan.

Dalam pada itu, tumpuan menghadapi cabaran ini juga terjejas apabila isu politik mengganggu negara ini. Sementara di peringkat antarabangsa pula, Amerika Syarikat sedang berkonfrontasi dengan China, yang hanya menyukarkan kehidupan manusia sejagat.

Jadi, dalam keadaan yang berkecamuk ini, perjuangan atau usaha politik dilihat sesuatu yang sia-sia dan dunia ternyata tidak dapat dikawal dengan usaha, apatah lagi kalau hanya dengan harapan dan impian. Dunia mempunyai garis perjalanannya tersendiri, terlepas daripada usaha manusia.

Jika melihat sejarah abad ke-20, itulah yang berlaku. Ahli politik kelihatan tidak boleh mengawal dunia yang terus tergelincir kepada Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Ke-2 dan Perang Dingin yang mengorbankan jutaan nyawa secara sia-sia.

Adakah pemimpin politik begitu kejam dan tidak berhati perut sehingga membenarkan kesengsaan dan penderitaan ini berlaku?

Atau bukan hanya ahli politik, tetapi manusia yang tiada belas kasihan sesama insan sehinggakan apa yang mereka perjuangkan dan usahakan akhirnya hanya mendatangkan penderitaan, bukannya kesenangan.

Kini, abad ke-21 memasuki 2 dekad dan tidak kelihatan harapan lebih baik bagi manusia berbanding kurun sebelumnya. Soal peperangan, ketidakadilan, jurang besar golongan miskin dan kaya, kemiskinan serta ancaman perubahan iklim tidak dapat ditangani. Ditambah dengan Covid-19 dan virus akan datang yang tidak diketahui kesudahannya.

Atau manusia perlu menghadapi keadaan ini dengan tabah dan berusaha menyelesaikannya satu persatu, iaitu melakukan usaha terbaik bagi mengatasinya. Mungkin sikap positif dan optimis ini boleh dilakukan, tetapi di sebaliknya tentu dapat dirasakan segala usaha ini boleh menjadi sia-sia kerana tiada jaminan kejayaan.

Ini kerana hakikatnya dunia adalah kompleks, lebih serabut daripada apa yang dapat difikirkan manusia. Masalah tidak dapat diselesaikan dengan melihat daripada sudut faktor yang disedari saja kerana realiti lebih kompleks daripada apa yang dapat disangkakan.

Jika tidak, harapan diletakkan begitu tinggi dan akhirnya ia mendatangkan kekecewaan apabila matlamat tidak tercapai. Di sinilah dirasakan usaha dan perjuangan sesuatu yang sia-sia.

Maka, bagi mengelak kekecewaan, sesuatu perkara dan masalah wajar dipandang secara realistik seboleh mungkin, bukannya dipengaruhi impian, fantasi atau idealisme.

Sebagai contoh, soal hubungan kaum di negara ini. Realitinya ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, terdapat 3 kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India yang bersedia hidup secara aman di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun ketiga-tiga kaum itu mempunyai kesediaan itu, tetapi mereka tetap mahu mengekalkan identiti kaum masing-masing.

Untuk mengharapkan ketiga-tiga kaum itu akan berasimilisasi menjadi Bangsa Malaysia bersama orang Sarawak dan Sabah adalah fantasi dan impian. Bagi mewujudkan Bangsa Malaysia, lebih-lebih lagi jika hendak diletakkan Melayu sebagai asas, tentunya akan menghadapi kekecewaan, maka perjuangan itu sesuatu yang sia-sia.

Begitu juga soal lain seperti ekonomi, umpamanya meletakkan 2020 sebagai sasaran untuk Malaysia menjadi negara maju. Ia memberi harapan terlampau tinggi bagi rakyat yang akhirnya hanya menemui kekecewaan dan dirasakan segala perancangan serta perbahasan mengenainya selama ini bukan saja sia-sia, tetapi juga membuang masa.

Begitu juga slogan dan label indah seperti Malaysia mahu menjadi Harimau Asia. Ia hanya meningkatkan harapan, tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Dalam hal ini, ia bukan soal pesimis atau optimis, tetapi ia adalah soal bersikap realis.

Keadaan perlu dilihat secara objektif dan dirumuskan secara realistik apa yang perlu dilakukan tanpa dipengaruhi fantasi dan harapan palsu, barulah dirasakan usaha politik dan perjuangan tidak sia-sia.

Maknanya, harapan akan mendorong seseorang atau sekumpulan orang berusaha dan berjuang, tetapi harapan palsu pula mendatangkan kekecewaan dan kekesalan. Maka, membezakan harapan tulen dan palsu adalah penting supaya akhirnya tidak dirasakan perjuangan seseorang itu sia-sia.

Umur manusia tidaklah sepanjang mana seperti yang dihajati, dengan kudrat dan kesihatan yang terhad, pasti ruang bagi usaha dan perjuangan amat terbatas. Tetapi, cita-cita dan aspirasi seseorang pula tinggi menggunung, akhirnya realiti akan mengejutkan seseorang supaya usaha dan perjuangan biarlah berpada-pada supaya tidak menjadi sia-sia.

ZIN MAHMUD




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. system demokrasi lah punca segala sia-sia dan membuang masa.
    patut dibakul sampahkan sahaja system ni.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form