1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang serius isu pengulangan pencemaran air Selangor yang dilihat sangat kerap dan kesannya rakyat menanggung derita terutama penghuni di bangunan flat serta menjejaskan rutin harian persekolahan dan juga impak negatif kepada pengusaha premis perniagaan seperti kedai dobi dan premis makanan.
2. Pengulangan pencemaran air yang kerap sehingga terjadinya beberapa kali dalam tempoh setahun adalah menjejaskan prestasi kecemerlangan negeri Selangor yang dilihat negeri maju dan pesat membangunkan. Air yang merupakan sumber utama kehidupan pastinya memerlukan pengurusan tadbir yang cekap lagi efisien. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya, di mana isu pencemaran air ini kerap terjadi sejak tahun lepas pada 2019 yang memberikan kesan buruk dalam rutin kehidupan seharian.
3. Pencemaran yang disyaki dari kecuaian operasi kilang yang gagal mematuhi SOP mesti diambil tindakan tegas. Jika dengan kompaun yang sedia ada, masih gagal mendidik maka selayaknya operasi kilang ditutup dan permitnya digantung serta merta di samping tuntutan ganti rugi yang mesti dipertanggungjawabkan ke atas pihak kilang yang menjadi penyebab kepada pencemaran ini.
4. Kerajaan negeri Selangor mesti bertegas demi memastikan kebajikan rakyat Selangor secara umumnya terjamin. Kerajaan perlu menggerakkan penguatkuasaan bagi menutup semua kilang haram dari beroperasi dan memindahkan kilang yang diberi permit ke tempat yang lebih jauh dari aliran sungai di samping mengetatkan SOP ke atas operasi kilang dalam prosedur pembuangan bahan sisa agar kesejahteraan sungai dan alam sekitar terjaga.
5. DPPNS mendesak agar pihak kerajaan Selangor jangan takut dan tunduk kepada mana-mana pihak yang degil dalam mengikut aturan SOP kerana kebajikan rakyat lebih utama dari kepentingan segelintir pemilik kilang yang rakus dengan kerja-kerja mengaut keuntungan sehingga sanggup merosakkan alam sekitar dan menyusahkan rakyat jelata.
Demi Islam
Pemuda Bangkit Demi Islam
Ustaz Hanafi bin Zulkapli
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Kredit gambar Twitter: @FarizAsyraf12
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Kenyataan