KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor dipersoalkan mengapa tidak meneruskan pewartaan sungai dan tebing bagi tujuan menyekat pembangunan dan menjaga keselamatan punca air.
Faekah Husin berkata, usaha itu dilakukan Tan Sri Khalid Ibrahim pada Jun 2009 bertujuan mengusir kilang-kilang haram di tebing Sungai.
“Pada Jun 2009 kerajaan Selangor pimpinan TS (Tan Sri) @Khalid_Ibrahim telah mewartakan sungai dan tebing-tebing bagi menyekat sebarang pembangunan demi menjaga keselamatan punca air di negeri ini. Usaha tersebut sebagai langkah awal mengusir kilang-kilang haram di tebing-tebing sungai.
”Mengapa tidak diteruskan?” soal Faekah menerusi Twitter.
Faekah adalah bekas Setiausaha Politik kepada Khalid semasa menjadi Menteri Besar Selangor.
Ciapannya itu dipercayai ada kaitan dengan gangguan bekalan air di Selangor baru-baru ini akibat perbuatan pencemaran oleh sebuah kilang di Sungai Gong.
Kilang itu didakwa melepaskan bahan pelarut ke dalam sungai berkenaan.
Ekoran itu, sebanyak 1,292 kawasan di Lembah Klang membabitkan lebih sejuta penduduk mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada Khamis lalu.
Setakat hari ini bekalan air masih belum pulih sepenuhnya. – MalaysiaGazette
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily