Pemimpin PAS Kelantan mempersoalkan tindakan Peguam Negara (AG) mewakili Orang Asli negeri itu bagi menyaman kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan membangkitkan perkara itu pada sidang media di lobi parlimen selepas soalan berhubung perkara itu tidak dihawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Yui Keong dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
"Apa yang berlaku sekarang ini, dalam kes terbaru, sekumpulan Orang Asli di Kelantan ambil tindakan mahkamah saman kerajaan negeri.
"Dalam kes ini, kenapa peguam negara mewakili rakyat? Sedangkan fungsi peguam negara adalah kerajaan mewakili kerajaan, soalan saya kepada menteri tidak dijawab.
"Kuasa fungsi peguam negara hanya mewakili kerajaan, apatah lagi dalam kes itu seolah-olah private citizen (rakyat) saman kerajaan negeri.
"Sepatutnya peguam negara tak boleh mewakili orang yang saman negeri. Ia nampak seperti peguam negara yang memulakan saman tersebut mewakili pihak tertentu. Itu perkara yang tidak tepat, tidak betul.
"AG (peguam negara) adalah institusi. Dia tak boleh, (kena) asingkan diri dia," katanya.
Pada 18 Januari lalu, kerajaan persekutuan atas arahan kabinet memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di negeri itu.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Berita