Berita Terkini

SST: Harga rumah patut turun 3-5%


Harga rumah sepatutnya mengalami penurunan antara tiga dan lima peratus ekoran pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, berdasarkan kajian industri, kos pembinaan se­perti simen dan batu-bata yang merupakan faktor menyebabkan kenaikan harga rumah dan bangunan yang rendah seharusnya menjadikan harga rumah juga lebih murah.

Beliau berkata, keengganan sesetengah pemaju untuk me­ngurangkan harga rumah akan memberi impak kepada keseluruhan industri perumahan.

“Saya mahu pemaju menurunkan harga perumahan, kalau kerajaan menarik balik penge­cualian cukai itu, perkara itu akan merugikan pemaju-pemaju yang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng memberi amaran yang kerajaan akan menarik balik langkah pengecua­lian SST yang dikenakan terhadap perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan sekiranya pemaju perumahan tidak menu­runkan harga rumah.

Bagaimanapun kata Ahmad ‘Asri, harga perumahan keseluruhan itu ditentukan oleh harga pasaran semasa termasuk harga tanah yang semakin melambung tinggi.

Pengecualian cukai itu katanya, bermakna kerajaan juga mengharapkan kos perumahan dan kos pemaju menjadi rendah dan seharusnya mereka me­nyambut baik langkah itu demi kesejahteraan masyarakat kese­luruhan.

“Saya benar-benar terkejut apabila kerajaan mengumumkan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST ke­rana perkara ini sekali gus akan meringankan tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial,” ujarnya.

NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form