Berita Terkini

Cerita Yang Sungguh Sedih


"Kau ni tak habis-habis menyusahkan hidup aku! Kalau bukan sebab pesan arwah mak, dah lama aku halau kau tau tak! Merempat la kau dekat tepi jalan tu biar lekang dek hujan lapuk dek panas!"

Aku tunduk mendengar setiap apa yang dituturkan oleh Berahim. Tidak terdetik langsung untuk aku melawan mahupun marah terhadap Berahim. Aku hanya ada dia, dia yang jaga aku selama ini. Setiap apa yang berlaku, aku terima seadanya.

Setiap apa yang berlaku, aku pasti akan dipersalahkan. Tanpa aku boleh membalas sepatah kata untuk mempertahankan diri. Kalau itu kata Berahim, maka itulah. Jika Berahim mengatakan lembu makan whiskas, maka makan whiskas-lah lembu. Muktamad.

Pernah sekali, ketika itu Berahim menonton drama Korea dan heroinnya mati, Berahim menangis dan mengamuk, kemudian dia menghentam tubuhku semahu-mahunya. Seperti biasa, aku terima segalanya tanpa pernah menyoal apa salahku. Sesudah itu aku masuk tidur dan menangis. Kebiasaannya aku akan tertidur dalam tangisan dan tubuh yang terasa seperti hendak berkecai hampir setiap malam.

Sebelum tidur, aku tidak lupa berdoa agar satu hari nanti akan ada sinar bahagia untukku

-----

Aku duduk di tangga melihat ke arah jalanraya. Sekumpulan budak-budak berjalan kaki sambil menyanyi menuju ke sekolah. Aku tersenyum, dalam fikiranku mula memikirkan apa yang ada di sekolah. Bagaimana rasanya pergi ke sekolah?

"Kau tak payah sekolah, kau tu bodoh! Huruf A dengan beruk pun kau tak kenal!"

Aku toleh ke Berahim, dia juga melihat ke arahku, dan menampar kepalaku berkali-kali. Aku lari menyorok di belakang tangga.

"Kau tengok aku macam gitu lagi sekali, aku pulas-pulas kepala kau sampai putus!"

Aku angguk kepala bila melihat jari telunjuk Berahim tepat ke arah wajahku.

Setelah kelibat Berahim hilang, pergi menoreh getah. Aku ambil keputusan untuk pergi bersiar-siar, berjalan keliling kampung. Itu sahaja waktu yang aku ada untuk release tension. Waktu-waktu lain hanya duduk di rumah dan menghadap Berahim yang tidak pernah kool itu.

Aku berdoa semoga di dalam perjalanan nanti terjumpa lagi makwe yang aku jumpa beberapa pagi yang lepas. Makwe yang buat aku rasa tak keruan dan buatkan jantungku berdetak laju seperti genderang mahu perang.

Lamunanku terhenti, lalu aku mendongak. Gemuruh rasa tubuhku bila tiba-tiba aku terlihat Berahim yang berada tidak jauh denganku. Aku lekas-lekas berlari dan bersembunyi dalam semak-samun. Mampus kalau Berahim nampak aku nanti. Aku mengintai dari celah-celah semak-samun.

"Kau jangan main-main Berahim. Semua orang kampung tahu, itu amanat arwah mak kau." Seorang lelaki tua menggelengkan kepalanya.

"Iya Pak Akob, akupun tahu juga. Tapi ekonomi aku tak stabil nak jaga dia, menyusahkan aku aje. Pak Akob je la jaga."

Aku terkedu. Berahim nak kasi aku ke orang lain? Walaupun Berahim benci aku, aku sayang dia. Aku cuma ada dia dalam dunia ini. Airmataku mengalir deras.

-----

Biarpun sudah lewat tengahari dan Berahim pasti sudah pulang dari menoreh getah, dan pasti juga dia akan menghentam tubuhku bila sedar aku tiada di rumah. Ah! Aku tak peduli lagi. Tidak ada rasa sakit dalam dunia ini yang sama dengan rasa sakitnya bila aku tahu Berahim mahu serahkan aku kepada orang lain.

Setibanya aku di depan simpang rumah, aku lihat Berahim berdiri cekak pinggang dan merenung tajam ke arahku. Lelaki tua yang berbual dengan Berahim pagi tadi juga ada bersama. Aku terus berjalan menuju ke tangga.

"Dah besar ni, Berahim. Nanti kalau lari balik sini semula macam mana?"

"Dia balik sini, mampus dia aku bedal nanti," balas Berahim tegas.

"Okey la kalau macam gitu, jangan pulak esok lusa kau mintak semula." Pak Akob menghulurkan beberapa keping not RM100.

"Tak ada la, menyampah aku bela dia. Orang kampung pun dah gelar aku Berahim Kambing. Celaka betul!" Berahim capai not kertas yang dihulurkan.

Aku memandang sayu ke arah Berahim yang sedang mengira duit, dan menurut langkah Pak Akob. Selamat tinggal Berahim, halalkan rumput dan garam yang aku makan selama ini. Airmataku menitis lagi.

ShazliGhazali



NADIREFORMASI

http://nadireformasi.blogspot.com/

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form