Berita Terkini

Saman RM100 juta: Permohonan guna sabitan jenayah difailkan bapa Altantuya ditolak


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak permohonan bapa mendiang Altantuya Shaariibuu untuk mengguna pakai sabitan jenayah dalam kes saman RM100 juta yang difailkan mereka, pada Julai lalu.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas kes yang difailkan Shaariibuu Setev itu didengar di dalam kamar hakim.

Peguam plaintif, Sangeet Kaur Deo, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata, mahkamah menolak permohonan itu berdasarkan Seksyen 43 Akta Keterangan yang memerlukan plaintif membuktikan semula pembunuhan berkenaan.

“Seksyen 43 melarang dan menghalang sabitan jenayah dalam tuntutan kes sivil. Ia adalah berdasarkan sistem undang-undang sedia ada.

“Seksyen terbabit adalah berdasarkan sistem perundangan di UK (United Kingdom). Tapi UK sudah mengubah perundangan mereka sama seperti di negara lain, mungkin ini adalah peluang kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminda seksyen ini juga,” katanya.

Sangeet berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan esok manakala tarikh perbicaraan kes tuntutan pampasan RM100 juta itu ditetapkan pada Januari tahun depan.

Permohonan yang difailkan Shaariibuu itu, antaranya membabitkan sabitan bersalah dua tertuduh utama kes pembunuhan warga Mongolia itu iaitu Azilah Hadhri dan Sirul Azhar.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.

Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mendapati Azilah dan Sirul bersalah membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati terhadap kedua-dua mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersetuju supaya kes pembunuhan berprofil tinggi itu dibuka semula selepas bertemu Shaariibuu pada 20 Jun lalu. - BH



NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form