PORT DICKSON: PAS terbuka menerima mana-mana pihak yang sedia membantu kempen calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata ia termasuk jika ada ahli UMNO yang membantu walaupun kedua-dua parti itu tidak mempunyai ikatan khusus, malah pemimpin UMNO sendiri tidak akan turun membantu kempen pembangkang.
ADVERTISING
Ditanya kemungkinan ada ahli atau jentera UMNO membantu kempen PAS secara ‘senyap-senyap’, beliau menjawab:
“Ini negara demokrasi dan PAS menerima siapa saja yang menyokong kita tapi ‘perkara ghaib’ (bantuan senyap-senyap UMNO) saya tak tahulah.
“UMNO tak benarkan ahli dia bantu (kempen PAS), tapi mungkin ada ahlinya yang undi calon kita,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana PAS sempena kempen PRK Parlimen Port Dickson di Teluk Kemang di sini, malam tadi.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS, Syahir Sulaiman dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.
UMNO memutuskan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan berpendirian tidak menyokong atau membantu mana-mana calon pembangkang atau Bebas yang bertanding.
Hadi turut menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak konsisten dalam mempertahankan jati diri sebagai seorang Islam.
“Bila di masjid, beliau menjadi imam tetapi apabila berada di kuil, beliau berpakaian dan menari bersama penganut agama lain.
"Memang ada kebebasan beragama tetapi biarlah konsisten dengan agama sendiri,” katanya.
Hadi berkata, masyarakat India dan Cina atau kaum apa sekalipun akan menghormati Islam jika penganutnya memiliki jati diri tinggi.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Anwar dan Mohd Nazari serta lima calon Bebas.
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Tags
Sisipan