KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mahu Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad menjelaskan mengapa Umno dilabel sebagai parti ‘asabiyah’ dan ‘sakau’ ketika bekerjasama dengan PAS.
Membidas label ditempelkan dari Konvensyen Nasional PAN susulan hubungan PAS dengan Umno, beliau menggesa Khalid menyatakaj pula pendirian apabila Umno diterima sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai PAN.
“Saya ingin bertanya kepada Khalid, sejak bila Umno menjadi parti ‘sakau’ hanya apabila bekerjasama dengan PAS? Bukankah PAN sendiri pernah membentuk kerajaan bersama Umno selepas PRU15 pada November 2022?” soalnya.
Umno diterima ketika Zahid dibicarakan
Ahmad Fadhli mengingatkan bahawa ketika PAN bersetuju membentuk kerajaan bersama Umno, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berdepan perbicaraan membabitkan 47 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Katanya, ketika itu perbicaraan sudah memasuki peringkat pembelaan selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak Pendakwa Raya berjaya membuktikan kes prima facie.
Pada 4 September 2023, Ahmad Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua pertuduhan tersebut ketika Umno sudah pun berada dalam kerajaan bersama Amanah.
Menurut Ahmad Fadhli, DNAA bukan pembebasan penuh, namun prosiding kes tersebut dihentikan susulan kelemahan dalam proses pertuduhan yang menurutnya dikenal pasti oleh Pendakwa Raya.
“Jadi saya ingin bertanya, apakah ukuran sebenar yang digunakan oleh Khalid Samad? Ketika PAN menerima Umno sebagai rakan kerajaan sewaktu Presidennya masih dibicarakan, kerjasama itu dibolehkan atas nama kestabilan politik.
“Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan Umno selepas Zahid memperoleh DNAA, tiba-tiba kerjasama tersebut dianggap bersama parti ‘sakau’?” soalnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mahu tahu mengapa kerjasama dengan parti yang sama dinilai secara berbeza apabila melibatkan PAS dan PAN.
“Kalau Umno dianggap parti ‘asabiyah’ dan ‘sakau’, apakah yang telah berubah sehingga PAN boleh duduk semeja, berkongsi kuasa dan mempertahankan kerajaan bersama Umno?” soalnya.
Baginya, Khalid perlu menjelaskan percanggahan tersebut sebelum mempertikaikan prinsip politik pihak lain.
Dari mana datangnya pandangan Dr Rosli?
Dalam ucapan sama, Khalid juga membangkitkan pandangan Dr Rosli Yaakob yang dikatakan mencadangkan PAS meninggalkan Umno dan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Khalid menyatakan PAS menolak pandangan tersebut, namun Ahmad Fadhli mahu mengetahui sumber sebenar cadangan itu dan sama ada Dr Rosli pernah mengemukakannya secara terbuka.
“Saya ingin bertanya, bilakah Dr Rosli membuat kenyataan terbuka sedemikian? Adakah melalui sidang media, kenyataan rasmi atau ucapan terbuka?” soalnya.
Ahmad Fadhli berkata, beliau dimaklumkan bahawa pandangan Dr Rosli pada asalnya ditulis dalam perbualan _WhatsApp_, namun status tulisan itu perlu diperjelaskan, sama ada merupakan perbualan tertutup atau sememangnya dimaksudkan untuk edaran umum.
Menurutnya, perbezaan tersebut penting kerana pandangan yang dikongsi secara peribadi tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sesebuah parti.
“Perbincangan antara pemimpin daripada parti berlainan juga merupakan perkara biasa dalam politik, termasuk apabila mereka mempunyai pendirian yang berbeza.
“Saya sendiri sering berbincang dengan pemimpin politik daripada parti lain dalam ruang lingkup tertutup termasuklah dari parti PAN yang lebih tinggi ‘ranking’ dari Khalid,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa perbualan sedemikian tidak sepatutnya dijadikan bahan politik tanpa persetujuan pihak yang terlibat.
Perbualan tertutup bukan bahan politik
Ahmad Fadhli berpandangan, sekiranya benar Khalid mengambil kandungan perbualan tertutup dan menggunakannya sebagai bahan serangan politik tanpa izin, tindakan itu boleh menjejaskan amanah dan kepercayaan antara pemimpin politik.
“Orang politik perlu tahu membezakan antara kenyataan terbuka dengan perbualan tertutup. Tidak semua perkara yang kita dengar secara peribadi boleh dijaja di pentas politik,” tegasnya.
Beliau mahu mengetahui siapa yang menyerahkan tulisan Dr Rosli kepada Khalid dan sama ada Dr Rosli sendiri memberikan kebenaran untuk kandungannya disebarkan.
“Jangan sampai kerana terlalu ghairah mahu menyerang PAS, batas kepercayaan dalam hubungan sesama ahli politik pun diketepikan,” katanya.
Ahmad Fadhli mahu Khalid menjawab dua perkara, iaitu mengapa kerjasama PAN dengan Umno diterima ketika Ahmad Zahid masih dibicarakan, sedangkan hubungan PAS dengan Umno dikritik selepas beliau memperoleh DNAA.
Selain itu, beliau mahu kepastian sama ada pandangan Dr Rosli merupakan kenyataan terbuka atau perbualan tertutup yang disebarkan tanpa kebenaran.
“Politik memerlukan prinsip yang konsisten dan kepercayaan yang dijaga, bukan ukuran berbeza mengikut siapa yang menjadi rakan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2026
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
