Berita Terkini

Lelaki bunuh, bakar bapa saudara akibat pertikaian tanah dipenjara 35 tahun


Seorang lelaki dihukum penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini kerana membunuh bapa saudaranya akibat pertikaian tanah sebelum bertindak membakar mayat mangsa, dalam kejadian pada dua tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Alexander Siew How Wai terhadap Joe Fredin Taip, 52, selepas tertuduh mengaku bersalah membunuh Hussien Sodomon, 68, menurut Harian Metro.

Beliau turut mengarahkan hukuman dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 April 2024.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kipaliu, Ranau, kira-kira 3 petang, antara 16 hingga 18 April 2024.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Ia turut memperuntukkan hukuman tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Mengikut fakta kes, pada 15 April 2024, tertuduh ke pondok mangsa sambil membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah jiran, susulan perselisihan faham berhubung tanah keluarga.

Setibanya di pondok berkenaan, Joe memukul bahagian belakang kepala mangsa beberapa kali menggunakan kayu terbabit.

Mangsa menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri, namun terjatuh berhampiran pondok itu. Joe kemudian mengheret kaki mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke dalam semak berhampiran, sebelum menutupnya dengan daun dan ranting kayu.

Keesokannya, Joe kembali ke lokasi berkenaan lalu mengalihkan mayat mangsa ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu, sebelum membakarnya.

Dia mengulangi proses membakar mayat itu pada 17 April selepas mendapati mayat mangsa belum musnah sepenuhnya.

Anak saudara mangsa Mohd Hafiz Francis menemukan timbunan abu dan serpihan tulang disyaki tulang manusia di kawasan hutan pada 18 April, sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus manakala tertuduh diwakili peguam Yong Pei Yi. - FMT


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form