Berita Terkini

Dokumen nyah rahsia: Tapi Menteri Kabinet tak tahu?


KUALA LUMPUR
: Isu-isu yang  menyentuh 3R (Raja, Bangsa, Agama) perlu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab kerana ia amat sensitif dan wajar dihindarkan.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), berkata, kerajaan sering mengingatkan rakyat agar berhati-hati berkenaan hal tersebut namun sehingga kini masih menjadi persoalan.

Bagaimana ujar Ketua Penerangan PAS Pusat itu, undang-undang tersebut dikuatkuasakan secara adil terhadap semua pihak.

“Sebagai contoh, berkenaan penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik ke ‘Facebook’ oleh seorang bekas Ahli Parlimen daripada parti kerajaan.

“Walaupun dikatakan, dokumen itu telah dinyah rahsia tetapi kenapa Kementerian Komunikasi tidak mengambil inisiatif untuk menyiarkan terlebih awal, dan kenapa pihak ketiga pula yang menyiarkannya.

“Terlalu lambatkah atau terlalu sedikitkah kaki tangan yang ada di pihak kerajaan ini, untuk menyiarkannya terlebih awal sebelum pihak ketiga itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Belanjawan 2027, Peringkat Jawatankuasa, Kementerian Komunikasi, pada Sidang Belanjawan Negara 2027, di Parlimen, semalam.

Menurut Ustaz Fadhli lagi, lebih membimbangkan, malah merunsingkan khususnya di pihak Ahli Parlimen Pembangkang, apabila hal tersebut dibangkitkan oleh Menteri-menteri Kabinet sendiri.

Mereka juga ujarnya, turut mempersoalkan ‘kenyataan’ yang mengatakan dokumen tersebut telah dinyah rahsia.

“Saya nak ulang, kita setuju kalau dokumen itu perlu dinyah rahsia, silakan. Tetapi biarlah ia melalui proses yang betul iaitu melalui proses yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

“Apabila tidak melalui proses yang betul, menteri menteri pun tidak tahu, bagaimana dan bila ia telah dinyah rahsiakan. Ini bererti ada perkara yang tidak kena pada pada isu itu,” tegas beliau lagi.

Justeru, Ustaz Fadhli mahukan penjelasan apakah tindakan Kementerian Komunikasi berkenaan isu tersebut setelah laporan polis telah dibuat.

Adakah katanya, ‘Facebook’ individu terbabit dipantau dan  diambil tindakan bagi mengelak agar kejadian seperti itu berulang, apatah lagi berkaitan penyiaran dokumen sulit kerajaan.

Individu tersebut juga ujarnya seolah-olah mendapat sumber daripada kabel-kabel yang sangat istimewa sehingga boleh tercetus perkara yang tidak sewajarnya dilakukan.

Selain itu, Ustaz Fadhli juga menyuarakan pandangan berkaitan sasaran keberkesanan komunikasi kerajaan yang dilihat semakin rendah.

Hal itu ujarnya merujuk kepada petunjuk prestasi pencapaian sebenar Kementerian komunikasi dan dokumen rasmi Belanjawan 2027.

“Pencapaian sebenar keberkesanan penyampaian maklumat kerajaan bagi 2025 ialah 85.4 peratus, sementara sasaran 2026 ditetapkan 90 peratus. Tetapi untuk 2027 diturunkan kepada hanya 80 peratus.

“Ini sangat pelik. Peruntukan kementerian meningkat tetapi kenapa sasaran keberkesanan komunikasi kerajaan pula diturunkan sebanyak 10 peratus. Ini satu penerjunan  teruk yang saya rasa sangat tidak boleh diterima,” katanya lagi.

Justeru tegasnya, pihak Menteri atau timbalannya dari kementerian terbabit perlu menjelaskan asas penurunan sasaran itu, sama ada metodologi pengukurannya berubah atau sebagainya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan berkenaan pemotongan peruntukan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dikurangkan daripada RM770 juta (2026) kepada RM670 juta bagi tahun hadapan.

Katanya, pengurangan sebanyak RM100 juta atau hampir 13 peratus, namun dalam masa yang sama, kerajaan mengumumkan pelaburan bernilai RM5 bilion bagi JENDELA dan inisiatif ketersambungan berkaitan.

“Oleh itu, Menteri berkaitan perlu jelaskan pecahan RM5 bilion  tersebut, berapakah peruntukan kerajaan, berapakah pelaburan syarikat telekomunikasi, berapakah komitmen terdahulu dan berapakah pembiayaan baharu untuk 2027.

“Kita tidak mahu kerajaan umum angka berbilion ringgit, penuh gah tetapi apabila kita meneliti dokumen, peruntukan angka pembangunan JENDELA sebenarnya berkurangan.

“Ini sangat kontra dengan apa yang disebut oleh Ahli Parlimen lain sebentar tadi, termasuklah kawasan saya di Pasir Mas.

“Sebahagian tempat di Pasir, penduduknya lebih rela membeli ‘sim card’ daripada negara Thailand untuk digunakan di kawasan sempadan kerana ia jauh lebih laju berbanding menggunakan khidmat telekomunikasi di Malaysia,” jelas beliau panjang lebar.

Sementara ujarnya berkaitan pelancaran PMX AI atau Avatar PMX sebagai inovasi komunikasi digital kerajaan, ia diperlihatkan seolah-olah teknologi itu bakal membuka lembaran baru interaksi antara Perdana Menteri dengan rakyat.

Namun soal beliau, ke mana perginya Avatar tersebut kerana beliau sangat bergantung kepada untuk mendapatkan maklumat, bertanyakan soalan dan sebagainya.

“Avatar PMX ini menjawab dengan penuh tulus, lebih tulus daripada sebahagian individu yang ada. Oleh itu Avatar PMX ini sangat digunakan oleh rakyat.

“Tetapi tiba-tiba dua tiga hari kemudian sudah tidak boleh digunakan. Jadi ke mana perginya? Adakah kerajaan berhasrat untuk melancarkan semula?

“Ada juga maklumat saya terima, ia adalah program parti dan bukan program kerajaan. Kalau ia program parti tertentu, jangan guna nama PMX. PMX milik saya dan kita semua.

“Kalau nak guna PMX pastikan ia milik rakyat dan kalau ia milik rakyat berapakah kos yang telah dihabiskan untuk mewujudkan Avatar PMX itu?” soal beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/11/2026


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form