Berita Terkini

Putra saran ‘gabungan Ku Li’ diikat secara mutlak


KOTA BHARU:
Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) menyarankan gabungan politik diketuai Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menumbangkan Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum-15 diikat secara mutlak.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, sejarah lalu membuktikan kerjasama politik dibentuk dengan ikatan longgar selalunya berdepan masalah sebelum berakhir dengan keruntuhan kerajaan yang pernah ditubuhkan bersama.

“Perlu saya ingatkan dalam gabungan politik ini, kalau kita menang dan jatuhkan kerajaan Pas bersama parti-parti dalam gabungan, esok-esok kalau dia tak suka, dia keluar (gabungan) pula, maka runtuh lagi kerajaan.

“Sebab itu pakatan kerjasama ini bagi saya, mesti diikat parti-parti yang membentuknya secara mutlak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari.

Tengku Razaleigh dilaporkan bersedia mengetuai gabungan digelar Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan untuk menumbangkan Pas di Kelantan bersama Amanah, DAP, Pejuang dan Putra serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut, Ibrahim memberi bayangan Putra berminat untuk menyertai ‘gabungan Ku Li’ tersebut, namun mahu memperhalusi beberapa aspek penting terlebih dahulu sebelum menyatakan pendirian.

“Kita nak perhalusi dulu parti mana terlibat, apa piagam, apa naratif dan siapa pimpinannya. Selain itu, konsep pembangunan bagaimana akan diguna pakai jika kita berjaya rampas Kelantan,” katanya.- UTUSAN


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form