Berita Terkini

Doktor junior menderita dengan waktu kerja tidak berperikemanusiaan - Norlela Ariffin


BUTTERWORTH:
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Norlela Ariffin hari ini mendakwa doktor junior di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah sekian lama menanggung waktu pekerjaan yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam catatan di Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu berkata, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan pengalaman ahli keluarganya sendiri.

Tegasnya lagi, waktu pekerjaan seperti itu tidak akan ditanggung oleh golongan pekerja di sektor yang lain.

“Dia (ahli keluarga) telah mengalami kemalangan sebanyak 27 kali kerana terlampau letih dengan bebanan tugas, namun Alhamdulillah dia masih selamat. Rakannya meninggal dunia. Saya juga teringat seorang doktor yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.

“Tetapi jawapan daripada pengurusan KKM, termasuk ahli-ahli politik, bahawa ini merupakan lumrah yang harus dilalui kesemua pegawai perubatan. Ia seolah-olah satu budaya yang harus diterima dalam profesyen perubatan,” katanya lagi.

Norlela berkata demikian sebagai respons kepada sebuah artikel tentang seorang doktor junior di sebuah hospital di Pulau Pinang yang dikatakan meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan pejabat.
Ketua Pegawai Polis Daerah Timur Laut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, buat masa ini insiden itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, alasan Jabatan Kesihatan Negeri bahawa masalah berlebihan bebanan kerja kerana kurang tenaga kerja sukar untuk diterima, memandangkan ramai graduan perubatan sama ada gagal, atau menunggu lama untuk diterima dalam perkhidmatan.

“Tak masuk akal KKM biar perkara ini berlarutan bila doktor perlu buat ‘life-death decisions’ masa rawat pesakit dalam keadaan kerja macam ni,” katanya lagi.

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form