Berita Terkini

Badan Peguam akan adakan EGM, bincang perarakan 'Demi Keadilan'


Presiden Badan Peguam Malaysia yang baru dilantik Karen Cheah Yee Lynn berkata dia mengambil maklum petisyen untuk mendesak mengadakan bantahan perarakan "Berjalan Demi Keadilan" dan perkara itu telah dibincangkan sebelum dilancarkan.

Katanya, mesyuarat agung luar biasa (EGM) Badan Peguam akan dipanggil untuk membincangkan perkara itu.

"Saya sedar sepenuhnya petisyen oleh ahli-ahli Badan Peguam untuk mengadakan perarakan, dan untuk rekod, Majlis Peguam telah berusaha sedaya upaya membincangkan perkara itu, walaupun sebelum petisyen sedemikian.

"Majlis Peguam kemudiannya pada 29 April 2022 (Jumaat) jam 4 petang juga mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani isu dakwaan ugutan terhadap kehakiman dan secara kolektif memutuskan bahawa kami akan memanggil EGM dengan segera," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Cheah (gambar judul, di atas) berkata Badan Peguam akan menjalankan tugas berkanunnya di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Jelasnya, ini di samping kenyataan Majlis Peguam pada 25 April mengenai keperluan memelihara kebebasan kehakiman dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman sebagai institusi yang sangat diperlukan untuk kedaulatan undang-undang.

Dia berkata EGM akan datang akan membincangkan kemungkinan pilihan yang tersedia untuk Badan Peguam Malaysia, serta untuk menyuarakan dan membahaskan sebarang usul yang dibentangkan.

"Kami berharap dapat melihat kehadiran ahli-ahli Badan Peguam di seluruh negara termasuk presiden terdahulu kami, untuk menyatakan buah fikiran mereka mengenai isu ini dan mengundi usul yang akan menjadi penting kepada masa depan badan kehakiman kami sebagai institusi yang sangat diperlukan dan penting.

"Jangan ada lagi percubaan untuk melemahkan badan kehakiman seperti yang dilakukan semasa salah satu waktu paling gelap pada tahun 1988.

"Butiran penuh EGM akan dimuktamadkan sejurus selepas tempoh perayaan Aidilfitri ini, dan notis EGM berkanun yang diperlukan akan dikeluarkan kepada semua ahli Badan Peguam dengan sewajarnya esok," kata Cheah.

'Masa untuk Badan Peguam bangkit'

Dia berkata demikian sebagai maklum balas terhadap petisyen dalam talian untuk peguam yang dianjurkan oleh sekumpulan bekas presiden Badan Peguam Malaysia.

Petisyen itu menyeru Majlis Peguam untuk menganjurkan perarakan "Berjalan Demi Keadlian" untuk menghantar mesej yang jelas kepada mereka yang "berusaha untuk campur tangan" dalam badan kehakiman.

Penganjur petisyen itu ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, dan Steven Thiru.

“Peristiwa baru-baru ini menunjukkan sikap pihak tertentu yang tidak mengendahkan prinsip mulia kebebasan Badan Kehakiman dengan tindakan yang hanya boleh disifatkan sebagai ugutan terhadap institusi penting ini.

"Sudah tiba waktunya untuk Badan Peguam sekali lagi bangkit dan tanpa gentar mempertahankan institusi khakiman. Sudah sampai masanya untuk berarak," kata petisyen itu.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form