Header

ATM sahkan rangkaian data digodam


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan telah berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya semalam.

Panglima ATM Jen Affendi Buang berkata, insiden itu telah dikesan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

Bagaimanapun, dia berkata serangan itu hanya melibatkan segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, dan tidak menjejaskan operasi portal sebenar.

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah, seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) dan ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi menegaskan aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan, dapat dikesan awal seterusnya ditangani sebaiknya.

“ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, terutama melalui peranan BSEP dan CDOC, yang bukan hanya memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM, malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.

Semalam, portal web ATM dipercayai telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mempamerkan gambar tidak senonoh di portal terbabit kira-kira 12 tengah hari.

-Bernama


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.