Berita Terkini

Hindraf cabar keputusan ROS, Menteri Dalam Negeri batal pendaftaran


Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pendaftarannya.

Pertubuhan itu bertindak menerusi pemegang jawatannya P Waytha Moorthy yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri (perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial).

Menurut kertas kausa yang dilihat Malaysiakini hari ini, Waytha Moorthy bertindak sebagai pemohon dalam tindakan itu.

Responden pula ketua pengarah ROS dan Menteri Dalam Negeri, yang tidak dinamakan dalam dokumen tersebut.

Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co, yang mewakili Waytha, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Dis lalu.

Hindraf mencabar kesahan dua keputusan berkaitan pembatalan pendaftarannya.

Pertama melibatkan keputusan ketua pengarah ROS pada 30 Sept tahun lalu untuk menyahdaftar mereka. Kedua adalah keputusan menteri berkaitan rayuan Hindraf terhadap keputusan itu.

Hindraf mendakwa keputusan ketua pengarah ROS bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966.

Pertubuhan itu mendakwa telah menghantar surat balasan kepada ketua pengarah ROS pada 26 dan 30 Sept 2019 yang mahu memberikan bukti agar pembatalan tidak diteruskan.

Bagaimanapun, ia mendakwa ketua pengarah ROS pada 30 Sept tahun sama telah mengeluarkan surat pembatalan pendaftaran.

Dakwa Hindraf lagi, satu surat bertarikh 24 Okt 2019 telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk merayu keputusan tersebut.

Menurutnya lagi, menteri pada 7 Ogos tahun ini memaklumkan rayuan itu ditolak dan keputusan pembatalan pendaftaran kekal.

Dalam tindakannya, Hindraf meminta mahkamah mengarahkan ketua pengarah ROS dan menteri untuk membatalkan keputusan itu dan membuat pendaftaran semula, berkuat kuasa 30 Sept 2019.

Hindraf juga meminta dua keputusan yang dibuat itu agar diisytihar tidak sah dan terbatal agar keputusan tersebut tidak dikuatkuasakan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Ia juga meminta ganti rugi kos dan ganti rugi lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Semakan kehakiman itu dijadual didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mariana Yahya pada 22 Feb depan.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form