Berita Terkini

Pengerusi PAC gesa speaker lantik ahli baru Isnin ini


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun digesa untuk memastikan anggota baru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen dilantik ketika sidang parlimen bermula Isnin depan.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu tidak dapat menjalankan tugasnya kerana anggota baru belum dilantik.

Selepas pertukaran kerajaan pada bulan Mac, lima anggota PAC menjadi menteri atau timbalan menteri.

Wong dilantik sebagai pengerusi pada bulan Ogos, bersama dengan wakil Bersatu Azizah Mohd Dun sebagai timbalan.

Bagaimanapun, kekosongan untuk keanggotaan PAC yang lain masih belum dapat diisi, dan jawatankuasa tersebut tidak pernah bermesyuarat sejak Mac.

"PAC perlu menebus semula waktu yang hilang," kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wong, beberapa minggu yang lepas, dia bersama Sekretariat PAC telah berbincang berkenaan dengan kes-kes tertangguh dan mengatur jadual PAC untuk bermesyuarat sejurus selepas parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli PAC.

Taklimat pertama yang dijadualkan adalah pada 3 November iaitu hari kedua parlimen sesi ini, dan disambung dengan urusan-urusan yang lain.

"Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua," katanya.

Tambah Wong, dia sudah menulis surat kepada kepada Azhar minggu lalu untuk menggesa melantik anggota PAC baru.

Bagaimanapun, berdasarkan draf aturan mesyurat sidang parlimen Isnin ini, tiada disebutkan tentang pelantikan ahli PAC.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form