Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus diberi ruang seluasnya untuk memimpin negara, serta menentukan corak pentadbirannya tanpa ada sebarang tekanan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Dia yang juga setiausaha agung BN berkata, soal berkaitan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri adalah merupakan hak istimewa atau prerogatif perdana menteri.
“Perdana menteri fikir tidak perlu ada jawatan timbalan perdana menteri dan gunakan sistem empat menteri kanan, kita terima.
“Kalau sekarang perdana menteri berubah fikiran nak seorang timbalan perdana menteri pun kita terima,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada komuniti Putrajaya di bawah Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya hari ini.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan desas-desus tiga pemimpin Umno disebut-sebut dipertimbangkan untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri iaitu Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan bekas Naib Presiden Hishammuddin Hussein.
Dia berkata adalah tidak salah untuk memberikan syor dan pandangan, tetapi ia tidak harus dilihat seolah-olah perdana menteri ditekan.
“Timbalan perdana menteri itu adalah orang paling kanan kepada perdana menteri, bolehkah letak seseorang yang tidak boleh bekerjasama? Sudah tentu tidak begitu,” katanya.
-Bernama
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily