Berita Terkini

Pemimpin BN Sabah bidas Annuar Musa campur tangan hal ehwal negeri


Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah menyelar Setiausaha Agung BN Annuar Musa kerana melampaui batasnya apabila beliau bercakap berhubung perkara yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Ketua Pemuda BN Sabah Abdul Aziz Julkarnian berkata, bukan urusan Annuar untuk membuat kenyataan berhubung kekurangan wakil orang Cina dalam Kabinet Sabah atau kemungkinan wakil PAS dilantik sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Beliau (Annuar) tidak patut bercakap mengenai perkara tersebut,” kata Abdul Aziz semasa dihubungi.

“Cina atau bukan Cina, semua mereka adalah adik beradik kami. Sama juga dalam isu pelantikan wakil PAS (sebagai Adunlantikan). Kenapa beliau mahu bertindak terlalu cepat?

“Kami sudah mempunyai pemimpin yang baru dilantik seperti Ketua Menteri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, yang saya percaya boleh bercakap dan mewakili definisi tepat mengenai perpaduan dalam kepelbagaian (di Sabah).”

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dapat melantik menteri berketurunan Cina kerana semua calon Cina gabungan itu tewas dalam pilihan raya negeri minggu lepas.

Beliau berkata, ini bermakna tiada Adun berketurunan Cina boleh dilantik sebagai menteri.

Annuar juga bercakap tentang kekosongan 6 Adun lantikan di Sabah dengan berkata, beliau menjangka salah satunya boleh diberikan kepada wakil PAS, yang merupakan sekutu BN dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau juga mencadangkan 2 kekosongan diberikan kepada Umno, sementara STAR, PBS dan PPBM masing-masing diberikan baki 3 kekosongan lain.

Setakat ini tiada perwakilan orang Cina dalam Kabinet negeri, namun Hajiji masih belum menamakan senarai penuh menteri atau individu yang akan dicalonkan sebagai Adun dilantik.

Sebelum ini, Aziz membuat kenyataan di Facebook dengan berkata, pemimpin kerajaan persekutuan yang membuat kenyataan “bagi pihak” kerajaan Sabah tidak menyumbang kepada usaha pelaksanakan penuh Perjanjian Malaysia 1963, terutamanya perkara berkaitan autonomi.

Beliau berkata, kenyataan sebegitu tidak sensitif dan tidak menghormati perpaduan serta keharmonian pelbagai komuniti di negeri itu.

Katanya, ia merupakan “perkara terakhir” yang dimahukan rakyat Sabah daripada pemimpin di seberang Laut China Selatan.

“Maknanya, (kami) tidak mahukan (kenyataan sebegini) sama sekali,” katanya.

Aziz, yang juga ketua Pemuda Umno Sabah berkata, salah satu daripada 4 paksi Aku Janji manifesto pilihan raya GRS ialah menyatukan rakyat Sabah.

“Justeru, berhentilah membuat sebarang kenyataan (yang) mendahului pendirian kerajaan negeri yang baru.

“Kami ada jurucakap kerajaan negeri yang berautoriti untuk bercakap dengan nada yang lebih sensitif dan memahami budaya, kemahuan serta perpaduan di negeri ini.

“Kami ingin menjaga perpaduan, persaudaraan dan keharmonian yang sudah terjalin erat selama ini,” kata beliau. FMT

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form