Header

Menanti berakhirnya ‘Tragedi Oktober’?


‘TRAGEDI Oktober’ di Malaysia telah sampai ke tahap di mana sama ada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tumbang dahulu atau UMNO berpecah sebelum rampasan kuasa oleh Najib-Zahid terhadap Muhyiddin dilancarkan.

Minggu-minggu seterusnya sehingga Belanjawan 2021 diputuskan Parlimen akan menentukan nasib Muhyiddin.

Kerajaan Sheraton beliau yang begitu rapuh boleh tumbang dalam masa beberapa minggu, kalau tidak pun beberapa hari mendatang.

Puak utama dalam UMNO yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang cuba menjatuhkan Muhyiddin dengan menarik balik sokongan terhadap kerajaan beliau.

Namun langkah Zahid itu mungkin akan mempercepatkan kehancuran UMNO.

Pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak begitu gembira terutamanya selepas pengalaman pahit bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Sekiranya Muhyiddin kehilangan kuasa akibat langkah-langkah UMNO, ini adalah semata-mata disebabkan oleh kegagalannya memahami bahawa keseluruhan usaha Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Sabah – yang dirumitkan oleh beberapa kesilapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menambah kemarahan beberapa pihak yang mewakili Muhyiddin – adalah satu usaha selingan yang tidak diperlukan.

Apa yang pemimpin UMNO marah sangat?

Tanpa kerusi UMNO, Langkah Sheraton tidak mungkin berlaku. Tetapi sejak mula, objektif utama Muhyiddin, Hamzah, Azmin dan operator mereka adalah untuk memecah-belahkan UMNO.

Rungutan utama UMNO ialah hakikat bahawa walaupun mempunyai 39 kerusi, parti Muhyiddin (yang mempunyai 31 kerusi) telah diberikan portfolio kementerian yang paling penting.

Bersatu mendapat dua daripada empat jawatan Menteri Kanan yang diberikan kepada Azmin dan Dr Radzi Jidin. Bersatu juga mendapat portfolio dianggap penting seperti Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin), Pembangunan Luar Bandar (Datuk Dr Abdul Latif Ahmad), Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mustapha Mohamad), Pertanian (Datuk Ronald Kiandee) dan Komunikasi (Datuk Saifuddin Abdullah).

Perdana Menteri juga melantik dua orang bukan ahli politik sebagai proksi peribadinya untuk menjaga portfolio kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan agama (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri), kedua-duanya jawatan idaman UMNO.

Malah Pas pun turut kecewa kerana tidak diberikan portfolio agama.

Daripada sembilan pimpinan UMNO yang dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin, empat daripada bukan Ahli Majlis Tertinggi iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Sains dan Teknologi), Datuk Halimah Sadique (Perpaduan) dan Datuk Dr Adham Baba (Kesihatan).

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) lantikan. Enam daripada tujuh Timbalan Menteri UMNO juga bukan AMT.

Selain daripada kumpulan Azmin dalam Bersatu, pimpinan Bersatu yang lainnya adalah bekas pimpinan UMNO. Ada yang meninggalkan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum 2018, selebihnya pengkhianat yang menyertai Bersatu selepas UMNO hilang kuasa.

Parti Muhyiddin itu turut mahu memecahkan Muafakat Nasional (MN), gabungan setahun jagung antara UMNO dan Pas. Jika dipaksa memilih antara UMNO dan Bersatu, Pas tentunya akan memilih Bersatu.

Setelah kehilangan pemimpin-pemimpin progresifnya pada tahun 2015, Pas tidak lagi bercita-cita besar untuk meluaskan pengaruhnya di peringkat nasional.

Objektif yang realistik bagi Pas ialah untuk mendominasi di Kelantan, Terengganu, Kedah Utara dan Pahang Timur.

Bersatu tiada masalah untuk menyerahkan kawasan-kawasan ini kepada Pas, sedangkan UMNO tidak boleh berbuat demikian kerana mereka telah bertanding di kawasan-kawasan tersebut sekian lama dan masih terus mempunyai kehadiran akar umbi yang signifikan di sana.

Apa lagi UMNO mahu?

Secara asasnya, apa yang sedang kita hadapi sekarang ialah kesan berpanjangan daripada kejatuhan UMNO pada 2018.

Selepas kekalahan UMNO, pemimpin yang kurang dicemari dana Najib seperti Datuk Seri Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin memasang cita-cita untuk bangkit menerajui parti.

Mereka berharap Najib dan Ahmad Zahid Hamidi akan meninggalkan parti kepada pelapis baharu untuk membina semula parti dari kerusi pembangkang dan seterusnya menang dalam PRU akan datang.

Tetapi Najib dan Zahid belum bersedia untuk melepaskan. Mereka memerlukan wadah politik yang boleh digunakan untuk mendapatkan sokongan ramai supaya mereka boleh kekal relevan dan kembali berkuasa untuk mengelak daripada masuk penjara.

Mereka gunakan isu ICERD dan kemudian rusuhan Seafield untuk menghangatkan suasana.

UMNO di bawah Najib dan Zahid beralih ke arah Pas dan mereka sama-sama menjalankan ‘strategi bumi hangus’ untuk membakar negara dengan isu kaum dan agama.

Pas dan Umno mempermainkan keresahan umat Islam dan memperkukuh persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikawal oleh DAP dan orang Cina memegang tampuk kuasa.

Tujuan kumpulan ini ialah untuk menyusahkan pentadbiran PH sehinggakan PRU perlu diadakan dan kemenangan akan berpihak kepada Pas dan UMNO, manakala Najib dan Zahid boleh terlepas daripada kes-kes mahkamah.

Pada masa sama, faktor-faktor lain turut menyumbang ialah Azmin tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, lalu beliau bekerja keras untuk membentuk gabungan baharu yang tidak akan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Segala-galanya memecut laju setelah beberapa klip video muncul pada Jun 2019 yang mendakwa Azmin melakukan hubungan seks bersama seorang lelaki.

Cubaan rampasan kuasa Oktober tahun lalu

Gabungan yang cuba dibentuk oleh Azmin melibatkan dua lagi perencana utama iaitu Hamzah Zainuddin dan Hishammuddin Hussein.

Hamzah membawa sejumlah 15 Ahli Parlimen untuk melompat menyertai Bersatu, mengurangi kerusi UMNO daripada 54 menjadi 39 kerusi. Hishammuddin pula didakwa mengawal 17 orang Ahli Parlimen UMNO.

Rancangan pada Oktober 2019 ialah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan Melayu dengan tambahan kumpulan Hishammuddin (17), Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18) dan Pas (18) untuk mencukupkan angka 53 bagi menggantikan angka-angka Amanah (11) dan DAP (42).

Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 direncana oleh Hamzah bersama-sama Azmin dan Hishammuddin di belakang tabir. Serangan berterusan terhadap DAP sepanjang Oktober bertujuan untuk memecahkan PH.

Objektif utama rancangan untuk menggunakan 53 Ahli Parlimen daripada kumpulan Hishammuddin, GPS dan Pas bagi menggantikan 53 kerusi Amanah dan DAP ialah untuk menafikan peluang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Azmin percaya bahawa apabila DAP dan Amanah tidak lagi sebahagian daripada sifir terbabit, beliau akan dapat mengawal majoriti Ahli Parlimen PKR atau tiada sesiapa akan menyokong Anwar sebagai PM.

Pada 14 Oktober 2019, akhbar New Straits Times menyiarkan laporan muka depan mengenai idea besar Hishammuddin untuk membina sebuah ‘Bangsa Malaysia’ tanpa DAP dan Amanah. Itu merupakan serangan yang pertama.

Namun pada waktu itu, Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak berkenan dengan cubaan sedemikian.

Pada 15 Oktober 2019, saya berjaya meyakinkan Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah untuk menandatangani kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH bersama empat setiausaha parti iaitu Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah), Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR), Datuk Marzuki Yahya (Bersatu ketika itu) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP menganggotai Majlis Presiden manakala orang nombor dua, Setiausaha Organisasi menganggotai Majlis Setiausaha).

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa Saifuddin Abdullah yang begitu rapat dengan Azmin dan mempunyai peranan besar dalam Langkah Sheraton tidak teragak-agak untuk menandatangani kenyataan yang mendedahkan rencana Hishamuddin-Azmin-Hamzah.

Mungkin beliau tidak tahu mengenainya pada waktu itu.

Kenyataan Pakatan itu disiarkan akhbar-akhbar utama pada 16 Oktober 2019, genap setahun semalam. Saya berani sebut bahawa kita berjaya menggagalkan rampasan kuasa 53 ganti 53 (Hishamuddin, GPS dan PAS menggantikan Amanah dan DAP) pada hari itu.

Langkah Pasca-Sheraton

Pakatan gagal mengelakkan rampasan kuasa seterusnya pada 23 Februari 2020 apabila Muhyiddin menyokong rancangan terbabit dan Zahid membawa keseluruhan blok UMNO ke meja rundingan dan mendesak bahawa beliau satu-satunya jurucakap bagi pihak UMNO.

Pada Februari, dengan sokongan 39 kerusi UMNO, rancangan mereka adalah untuk menendang keluar kumpulan Anwar dalam PKR, DAP dan Amanah.

Mereka beranggapan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Dr Mahathir dan kerajaan Sheraton akan berkuasa dengan sekurang-kurangnya 125 kerusi, kalau pun bukan 130 kerusi.

Mereka terkejut apabila Dr Mahathir dan Shafie enggan masuk campur dengan rancangan terbabit dan sejak itu, kerajaan Sheraton ini hanya mampu mentadbir dengan majoriti kurang daripada bilangan jari di sebelah tangan.

Apa yang penting, UMNO tidak mampu bertindak secara berpadu sejak kekalahannya pada 2018. Rancangan Hishammuddin ialah supaya UMNO berpecah pada Oktober 2019. Kita menanti apa yang bakal terjadi pada Oktober 2020.

Cubaan Zahid dan Najib untuk bercerai dengan Muhyiddin akan menyebabkan UMNO bercerai-berai terlebih dahulu. Kita masih memerhatikan apakah peranan Naib Presiden UMNO merangkap menteri paling kanan dalam UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau mungkin menjadi penentu pihak yang mana akan terakam sejarah.

Banyak kejutan mendatang dalam Tragedi Oktober kali ini.

Liew Chin Tong
Pengarah Strategik DAP

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.