Berita Terkini

Kerajaan digesa siasat kehilangan dana RM1 bilion projek kapal tempur


PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong mendesak kerajaan menyiasat kehilangan dana RM1 bilion berkait projek 6 kapal tempur Tentera Laut Diraja Malaysia.

Liew yang juga ahli Dewan Negara berkata, dakwaan kehilangan dana daripada projek itu amat serius dan perlu dikembalikan supaya projek kapal tempur pesisir (LCS) diselesaikan segera.

“Setelah pihak-pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan, kerajaan juga wajar mempertimbangkan suntikan dana demi memastikan projek ini boleh disiapkan bagi kegunaan tentera laut untuk terus memelihara kedaulatan perairan negara.

“Selagi mana tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal ini akan mengalami kelewatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Liew memberitahu Dewan Negara pada September Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan mendapati RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang dibayar untuk kapal tempur itu tidak dapat dikesan.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz bersetuju
audit forensik mengenai kehilangan dana itu mesti dilakukan, mengembalikan dana tersebut, dan seterusnya mempertimbangkan suntikan dana untuk menyelamatkan projek terbabit.

“Selain pengiktirafan oleh timbalan menteri pertahanan berkenaan cadangan saya, kerajaan masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek ini.

“Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” katanya.

Ogos lalu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian sedang mempertimbang 3 pilihan untuk menyelesaikan kelewatan penyerahan 6 unit LCS, kerana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menyelesaikan sebarang tempahan.

Pilihan itu adalah melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 2 unit LCS, menyiapkan sekurang-kurangnya 2 unit oleh BNS dengan baki kontrak selebihnya, atau penamatan kontrak dengan BNS.

Liew mempersoalkan cadangan itu kerana tentera laut hanya akan mendapat 2 kapal daripada 6 yang dipesan walaupun membayar 2/3 daripada kos siling RM9 bilion.

“Dengan jumlah ini, sepatutnya 4 buah kapal sudah siap,” katanya.

Projek bernilai lebih RM9 bilion itu dianugerahkan pada 2014 bagi membina 6 LCS.

Kapal pertama sepatutnya dihantar pada April 2019, tetapi tiada 1 pun yang dibina walaupun kerajaan sudah membayar syarikat berkenaan RM6 bilion.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

Previous Post Next Post

Contact Form