Berita Terkini

Beri bantuan tambahan RM1,000 kepada penerima BPN di Sabah, kata Najib


KOTA KINABALU:
Bekas perdana menteri, Najib Razak, berkata seramai 737,797 rakyat Sabah dari golongan B40 dan M40 yang diluluskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebelum ini perlu diberikan bantuan tambahan wang tunai sebanyak RM1,000 oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, ia berikutan negeri itu adalah yang paling terkesan dalam gelombang ke-3 Covid-19 dengan lebih 70% kes di seluruh negara direkodkan di Sabah.

”Seluruh Sabah diletakkan dalam PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) dan ada juga beberapa daerah sudah dilaksanakan PKPD yang jauh lebih ketat sejak 3 minggu lalu.

”Memandang situasi Covid-19 terkini, besar kemungkinan PKPB dan PKPD akan dilanjutkan lagi.

”Jika golongan yang memerlukan tidak diberi lebih bantuan, mereka akan terpaksa melanggar PKP yang dilanjutkan untuk keluar bekerja dan dengan itu, penularan Covid-19 di Sabah tidak akan berhenti dan negara akan terus mencatat jumlah kes yang tinggi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, memberi bantuan tambahan RM1,000 kepada setiap penerima BPN di Sabah hanya menelan kos RM737 juta dan ianya jauh lebih rendah dari cukai jualan petroleum sebanyak RM2.9 bilion yang dibayar kepada Sarawak pada bulan lepas.

”Jika keengganan kerajaan memberi bantuan tambahan kepada penerima BPN Sabah berpunca daripada kebimbangan kadar defisit negara menjadi lebih tinggi, kerajaan perlu ingat bahawa pengiraan kadar defisit berdasarkan jumlah defisit dibahagi dengan saiz KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara.

”Selain itu, jika rakyat tidak dibantu dan dana tidak disuntik ke dalam ekonomi tempatan yang terhenti akibat PKP seluruh negeri, maka ramai perniagaan akan tutup serta pekerja dibuang.

”Ini akan menurunkan KDNK negara dan apabila KDNK negara turun, maka kadar defisit akan naik juga walaupun jumlah defisit tidak bertambah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah meminda undang-undang untuk menaikkan had pinjaman kerajaan kepada KDNK daripada 55% kepada 65% seperti yang disarankannya pada April lalu.

Katanya, kenaikan had berkenaan bersamaan dengan ruang tambahan pinjaman sebanyak RM150 bilion.

”Jika kerajaan PN tidak ingin meminta Petronas tanggung kos RM737 juta ini dalam bentuk cukai jualan petroleum, kerajaan masih mempunyai ruang yang besar untuk meminjam jika tidak mahu jual aset.

”Sebab itu, bayarlah sahaja tambahan RM1,000 untuk semua warga Sabah dan lanjutkan juga moratorium pinjaman secara pukal bagi seluruh Sabah jika tidak mahu beri kepada seluruh negara, sekurang-kurangnya 3 bulan lagi,” katanya.

”Dalam situasi PKP seluruh negeri yang berlanjutan dan kes Covid-19 yang terus tinggi, bagaimana warga Sabah mampu membayar ansuran pinjaman bulanan? Jangan sudah menang PRN, Sabah dilupakan pula,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form