Berita Terkini

Dr M jumpa Ku Li dan pemimpin lain bincang kerajaan perpaduan - sumber


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin politik mengenai cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Sumber dari pejabat Mahathir mengesahkan bahawa Mahathir telah bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada hari Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad pada hari Selasa, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam.

"Perbincangannya adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan," kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Ketiga-tiga pertemuan itu dikatakan diadakan di kediaman Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP dalam pertemuan itu, sumber itu menjawab, "setakat ini mereka yang ada dalam gambar yang sudah datang".

Sumber itu menambah bahawa "pintu mereka masih terbuka" kepada mana-mana pihak yang ingin berbincang mengenai perkara itu dengan Mahathir.

Mohamad Sabu ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini enggan mengulas ketika ditanya berkenaan pertemuan itu.

"Tiada, komen, tiada komen," katanya.

Sebelum ini, laman Facebook kelab penyokong Mahathir, Kelab Che Det menyiarkan tiga gambar yang dikaitkan dengan pertemuan berkenaan.

"Ketika Negara diuji, kerajaan perpaduan adalah formula terbaik. Parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan negara sahaja yang diutamakan. Ini juga menyambut baik saranan YDP Agong supaya berhenti berpolitik.

"Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia berbilang kaum, malah boleh memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan akibat pandemik Covid-19, pergolakan politik dan kedudukan ekonomi global yang tidak tentu," kata kenyataan yang mengiringi gambar berkenaan di Facebook.

Perkembangan itu hadir ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran dari dalam dan luar gabungan Perikatan Nasional yang diterajuinya.

Muhyiddin juga mempunyai tugas untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan pada 6 November mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, untuk membuktikan dia masih mendapat keyakinan daripada ahli Dewan rakyat untuk kekal sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menyeru semua ahli politik menyokong belanjawan itu yang disifatkan penting dalam usaha kerajaan menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. Kerajaan PERPADUAN yang macam mana TUN MAHATHIR nak PERJUANGkan ???..U TURN lagi ke ???...sejarah politik TANAH AIR telah TUN cipta selama ni...siapa lagi jika bukan TUN orangnya yang punyai TIMBALAN PERDANA MENTERI yang paling ramai dalam sejarah POLITIK MALAYSIA ??...apa lagi AGENDA SEBENARNYA yang TUN HENDAK TUNAIKAN ??...KEROSAKKAN apa yang TUN nak bawa sekarang ???...apa TUN sudah LUPA yang selama ni TUN sendiri TELAH HANCURKAN MARUAH UMNO pada GENERASI yang baru nak kenal BUDAYA POLITIK MALAYSIA ???...apa TUN lupa ke yang suatu masa dulu TUN pernah kata...DAP adalah PARTI bersifat CAUVINIS,RASIS yang MELAMPAU...sedangkan TUN menjadi PERDANA MENTERI dalam PAKATAN HARAPAN pun X ada suara nak TEGUR KEBIADAPAN MULUT ULTRA KIASU DAP ni pula nak CADANG KERAJAAN PERPADUAN...mimpi apa sekarang ni TUN ???...@ TIDUR TUN selama ni didatangi MIMPI2 NEGRI diatas KACAU BILAU POLITIK MALAYSIA yang TUN sendiri TAHU ANGKARA SIAPA ???...ingat TUN..usia kita ni bukannya panjang mana pun...ALAM KUBUR telah lama menanti kita untuk diPERTANGGUNGJAWABKAN atas URUSAN DUNIA yang telah kita lalui semasa hidup...RENUNGLAH DIKALA ROH BELUM LAGI BERPISAH DARI JASAD..

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form