Berita Terkini

Shafie nafi PKR tak setuju dapat 7 kerusi


SEMPORNA:
Ketua Menteri Shafie Apdal mengakui proses pengagihan kerusi dalam kalangan gabungan Warisan Plus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan mudah namun menegaskan ia dibuat secara konsensus.

Presiden Warisan itu berkata, perkara itu sudah dirundingkan bersama rakan sekutu seperti Amanah, DAP, PKR dan Upko dengan beliau sendiri turut memantau dan menilai pelbagai aspek sebelum memutuskan untuk meletakkan calon parti bersesuaian di satu-satu kawasan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program ramah mesra bersama penduduk di Masjid Jamek Kampung Bantayan hari ini.

Shafie diminta mengulas mengenai agihan kerusi kepada PKR yang hanya diberikan 7 kerusi bagi PRN, separuh daripada jumlah yang diminta oleh parti itu.

Tujuh kerusi itu ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Menerusi pengumuman calon semalam, Warisan mendapat 46 kerusi, Upko (12), DAP (7), PKR (7) dan Amanah (1), menyaksikan mereka bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah.

Shafie turut menafikan dakwaan konon Pengerusi PKR Sabah Christina Liew dan sekumpulan anggota PKR keluar dari dewan ketika pengumuman calon dibuat, disebabkan tidak berpuas hati dengan soal pembahagian kerusi.

“Tidak benar, dia (Christina) hanya keluar kerana ada urusan lain,” katanya.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form