KUALA LUMPUR, 11 Sept ― Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berharap ada individu yang berani tampil mengupas skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu di media sosial.
Mengulas tentang untaian catatan perbicaraan kes Mona Fandey yang tular di Twitter, Khalid berkata pembunuhan Altantuya pula masih belum disiasat dan dikupas dengan terperinci.
“Apa sebabnya dia dibunuh? Siapa yang arah Sirul dan Azila?
“Kupasan terperinci sebegini ditunggukan rakyat Malaysia. Insya Allah akan dihasilkan juga untuk hentikan segala spekulasi,” catat bekas menteri Wilayah Persekutuan itu di Twitter.
Kes Altantuya dibuka semula selepas bekas peguam negara Tommy Thomas pada Disember tahun lalu dilapor berkata cerita tentang pembunuhan wanita itu “tidak lengkap”.
Namun perbicaraan semakan semula yang sepatutnya dijadual 20 April lalu di Mahkamah Persekutuan ditangguhkan kepada satu tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bekas komando polis Azilah Hadri memohon mahkamah untuk menyemak semula kesnya bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati kerana membunuh Altantuya seperti yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015.
Azilah kini di Penjara Kajang, menunggu untuk menjalani hukuman mati.
Beliau dan seorang lagi anggota polis Sirul Azhar Umar didapati bersalah kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam pada 2006.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily