PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak menyangka kenyataan yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu pada 2018 untuk menjadi “kingmaker” berlaku ketika krisis politik tercetus Februari lalu.
“Siapa menduga perkembangan politik yang berlaku mutakhir ini. Saya hanya menembak saja ketika PRU14, insya Allah PAS akan jadi ‘kingmaker’ dalam percaturan politik tanah air.
“Kerusi yang dianggap tak jadi penentu kerajaan memerintah dengan 18 kerusi Parlimen, 2 negeri kita menang, tiba-tiba Allah menyerlahkan kita jadi ‘king maker’ dan melakukan perubahan politik tanah air,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kepada perwakilan Pemuda PAS di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, pertukaran kerajaan secara aman Februari lalu bukan disebabkan Langkah Sheraton, sebaliknya perancangan PAS yang membolehkan parti itu memasuki Putrajaya dan memimpin Kedah, selain Kelantan serta Terengganu yang dimenangi pada PRU14 lalu.
“Yang berlaku bukan Langkah Sheraton, langkah kita sebenarnya. Biar orang tak tahu, itu lebih baik, orang nampak Langkah Sheraton saja, tapi perancangan kita berjaya.
“PAS dapat tempat dalam kerajaan, tambah satu negeri Kedah kita memimpin dalam cara tak gopoh seperti orang lain. Alhamdulillah ahli PAS setia pada parti, mereka tak gelabah.”
Hadi berkata, kerajaan PN ditubuhkan secara demokratik, bukannya pintu belakang atau tebuk atap.
Katanya, melalui pendekatan itu, PAS berjaya membentuk Muafakat Nasional dengan Umno dan membentukan kerajaan PN.
“Akhirnya kita berjaya wujudkan PN, menawan Putrajaya dalam keadaan tenang.
“Melalui ahli Parlimen yang dipilih rakyat, melalui raja, Yang di-Pertuan Agong, bukannya tebuk atap, ini ikut Perlembagaan.
“Kita berjaya ambil alih Putrajaya dengan langkah diambil, walaupun kita berbeza pendapat dalam pendekatan menyebabkan sedikit keretakan.”
Beliau berkata, PAS kini fokus mengukuhkan kedudukan menjelang PRU15 bagi mendapatkan mandat rakyat yang jelas.
“Apa yang penting, kita mahu mengukuhkan kedudukan perjuangan kita untuk dapat mandat rakyat secara langsung melalui PRU15.” - FMT
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily