Sejak mengumumkan secara terbuka rancangan menubuhkan parti yang digerakkan golongan muda, anggota-anggota gerakan "Muda" yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengadakan siri jelajah di seluruh negara.
Anggota Parlimen Muar itu sendiri berada di Sabah ketika pilihan raya negeri dan baru-baru ini dilihat memakai kemeja-T yang tertera nama gerakan yang dipimpin golongan belia itu.
Seorang pembantu kepada Syed Saddiq mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia sedang "membina jaringan" untuk Muda di negeri itu.
Anggota lain seperti Amir Abdul Hadi dari Liga Rakyat Demokratik, telah bertemu dengan kumpulan anak muda dan aktivis di semenanjung.
Bercakap kepada Malaysiakini, Amir berkata rakan-rakannya ketika ini mengadakan lawatan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk mendapatkan maklum balas mengenai rancangan Muda.
Beberapa anggota Muda juga mengunjungi negeri-negeri di sebelah utara.
"Tujuan dan objektif jelajah ini adalah untuk bertemu dengan rakan-rakan kita di seluruh Malaysia, dan tanyakan kepada mereka apa pendapat mereka mengenai idea membentuk parti baru," kata Amir.
"Objektif kita bukan untuk ajak orang untuk masuk, (tetapi) lebih kepada mendengar pendapat masing-masing, idea dan juga mungkin lihat keadaan di kawasan masing-masing," tambahnya.
Pelancaran Muda dijadualkan secara rasmi bulan ini, tetapi belum ada pengumuman dibuat.
Dipelopori oleh Syed Saddiq, ia bertujuan menjadi platform politik yang bebas, dipimpin orang muda, berbilang kaum dan bebas daripada politik wang.
Berdasarkan pengalamannya sebagai bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq sebelum ini mengatakan kepada Malaysiakini bahawa gerakan itu akan dibiayai oleh individu dan korporat untuk memastikan kebebasan dan ketelusannya.
Personaliti yang secara terbuka berjanji akan terlibat dalam Muda termasuk aktivis, tokoh korporat, pengasas start up digital dan pendakwah agama.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily