Berita Terkini

Mahkamah benar isu tanah FIC-Synergy Promenade dibawa ke prosiding timbang tara


KUALA LUMPUR:
Isu perjanjian 24 bidang tanah milik Felda di Jalan Semarak di sini, antara Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) akan diteruskan dengan prosiding timbang tara.

Ini susulan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Anand Ponnudurai yang menolak permohonan FIC selaku plaintif untuk menghalang SPSB daripada meneruskan prosiding timbang tara berhubung isu itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Amrit Pal Singh dan RK Sharma yang mewakili SPSB selaku defendan, kepada pemberita selepas prosiding kes itu semalam.

Amrit Pal berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati sebarang isu membabitkan FIC dan SPSB harus didengar melalui prosiding timbang tara.

“Permohonan FIC untuk menghalang Synergy Promenade meneruskan prosiding timbang tara ditolak mahkamah dengan kos RM25,000,” katanya.

Peguam Kumar Kanagasingam mewakili FIC.

Permohonan difailkan FIC selaku plaintif dalam saman pemula pada 24 Jan lalu, memohon deklarasi Artikel 9.04 Perjanjian Pembangunan pada 2 Jun 2014 yang dilaksanakan antara plaintif dan defendan terbatal dan tidak sah, tidak berkuat kuasa dan/atau tidak dapat dilaksanakan.

Plaintif berkata, prosiding timbang tara yang dimulakan defendan melalui notis timbang tara pada 25 Nov 2019 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) terhadap plaintif adalah terbatal dan/atau tidak sah, serta prosiding itu adalah penyalahgunaan proses.

FIC juga mendakwa defendan mengetepikan hak yang mungkin ada untuk merujuk sebarang pertikaian atau perbezaan menyentuh atau mengenai perjanjian pembangunan kepada timbang tara.

Permohonan itu dibuat atas alasan, pada 14 Nov 2019, plaintif dan badan berkanun mereka Felda, memulakan tindakan terhadap defendan dan pihak ke-3 lain berasaskan penipuan dan konspirasi yang dilakukan defendan dan pihak ke-3 lain untuk menyebabkan plaintif dan Felda melaksanakan pembangunan 24 bidang tanah milik Felda di Jalan Semarak, dalam projek dikenali sebagai Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC).

Menurut plaintif, pada 25 Nov 2019, defendan memulakan prosiding timbang tara terhadap plaintif yang menuntut dan menyatakan antara lain, semua pertikaian dan perbezaan antara defendan dan plaintif yang timbul daripada perjanjian pembangunan patut dirujuk kepada timbang tara menurut Artikel 9.04 Perjanjian Pembangunan.

FIC berkata, defendan dan syarikat berkaitannya, Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC) memulakan 2 prosiding mahkamah berasingan terhadap plaintif dan Felda tahun lalu berhubung 2 bidang tanah Felda di Jalan Semarak dan perjanjian pembangunan untuk penyerahan pemilikan kosong 23 bidang tanah Felda di kawasan itu.

Kata FIC, 2 prosiding itu serta prosiding timbang tara membabitkan isu sama, iaitu berkaitan pembangunan tanah Felda di Jalan Semarak.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form