Cara dan prosedur kerja warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari menteri sehinggalah jururawat di klinik bukanlah memburu populariti.
Sebaliknya, warga KKM sentiasa tertakluk kepada objektif utama mereka yakni membantu seseorang individu untuk mencapai dan mengekalkan satu taraf kesihatan bagi membolehkannya menjalankan kehidupan ekonomi dan sosial yang produktif.
Oleh sebab itu, apabila Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menegaskan KKM tidak terburu-buru untuk membeli vaksin Covid-19, ramai warga netizen yang kurang faham situasi.
Sesetengah mereka beranggapan KKM tidak cakna akan kesihatan rakyat dan seolah-olah tidak mahu wabak ini berakhir cepat.
Walhal, jika kita merujuk kepada laporan media pada Isnin, 7 September 2020, KKM telah membongkar kegiatan penjualan produk tidak berdaftar dengan vaksin haram.
Menurut laporan media berkenaan, kemungkinan kebanyakan klinik swasta dikesan menawarkan vaksin haram yang diseludup.
Antara vaksin haram yang dikesan adalah membabitkan suntikan vaksin typhoid iaitu suntikan wajib bagi pengendali makanan.
Hasil serbuan berjaya merampas 41 jenis produk yang dianggarkan berjumlah RM670,370.00.
Ia bermakna, vaksin haram yang kita tidak yakin akan kandungannya itu makin berleluasa di negara ini.
Cuba bayangkan, badan kita disuntik dengan vaksin haram yang dijual tanpa pengetahuan dan kelulusan pihak berwajib, khususnya KKM?
Adakah kita sanggup membenarkan badan kita atau orang yang tersayang menanggung risiko berbangkit setelah mengambil vaksin yang tidak diketahui ketulenannya?
Siapa boleh sahkan vaksin haram berkenaan selamat untuk digunakan dalam badan manusia? Apatah lagi bagi sesebuah vaksin yang dibina secara terburu-buru, tanpa proses research and development secara menyeluruh?
Disebabkan mahu mengejar masa, sudah tentu proses dilakukan secara terburu-buru. Maka, pelbagai risiko akan timbul jika tidak diberi masa yang sewajarnya untuk proses pembinaan sesebuah vaksin.
Maka apa yang dikatakan oleh Dr Adham itu sebenarnya kaedah paling tepat dan profesional. Menurut Dr Adham, Malaysia akan menunggu sehingga hasil ujian klinikal tahap ketiga selesai, supaya vaksin Covid-19 berkenaan benar-benar selamat dan berkesan buat manusia.
Jika mahu mengejar populariti, sudah tentu Dr Adham akan bertindak membeli vaksin Covid-19 pada hari ini. Maka, nama beliau akan dipandang sebagai seorang menteri yang cepat bertindak.
Namun, tiada siapa boleh beri jaminan bahawa setiap suntikan vaksin itu akan berkesan secara 100 peratus, tanpa ada kesan sampingan selagi ia tidak mencapai ujian fasa ketiga.
Sikap berhati-hati dan profesional yang ditunjukkan oleh menteri kesihatan dan warga KKM ini harus dipuji.
Kita perlu mengkaji track record dan integriti sesebuah negara pengeluar vaksin. Jangan kita tersalah beli daripada negara yang hanya bermotifkan keuntungan, bukan yang mahu membantu menyelamatkan nyawa manusia.
Denggi - 40 tahun tanpa vaksin
Ketika berucap dalam satu majlis turun padang ke Sungai Rengit, Johor baru-baru ini, Dr Adham juga menyebut mengenai wabak Denggi yang masih tidak ditemui vaksin walaupun sudah mencecah 40 tahun.
Perkara yang boleh menyelamatkan rakyat negara ini dari dihinggapi wabak berkenaan adalah pematuhan kepada saranan KKM, seperti menjaga kebersihan persekitaran, tidak menakung air hujan atau air yang tidak digunakan, meletak ubat jentik-jentik ke dalam takungan air, menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk dan menyapu ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk.
Bukankah situasi berkenaan sama dengan apa yang kita sedang alami semasa wabak Covid-19 ini?
Ketika kita masih belum menemui vaksin yang benar-benar selamat dan berkesan, maka kita perlu patuh kepada saranan KKM melalui amalan norma baharu.
Mulai saat ini, kita tidak boleh lagi lari dari amalan norma baharu seperti mempraktikkan amalan kebersihan diri dan tangan, iaitu kerap membasuh tangan dengan betul dengan air dan sabun, atau dengan hand sanitizer, menggunakan pelitup mulut dan hidung ketika keluar dari premis dan mengamalkan penjarakan sosial, sekurang-kurangnya menjaga jarak di antara kita satu meter daripada satu orang dengan orang yang lain.
Tiga perkara yang perlu kita elakkan pada setiap masa, iaitu elakkan berada di kawasan yang sesak atau ramai orang (crowded area), elakkan berada di dalam Kawasan yang tertutup (confine space) dan elakkan bercakap pada jarak yang dekat (kurang dari satu meter) (close conversation).
Selagi mana kita terus kekal patuh kepada saranan KKM melalui amalan Norma Baharu, dari segi ilmu perubatannya kita boleh terhindar dari dijangkiti wabak Covid-19.
Seperti mana yang kita sama-sama telah buktikan melalui wabak Denggi, maka percayalah kepada setiap saranan, teguran dan nasihat dari KKM agar kita mampu menang.
ABDUL MAJID JAHAYA
NGO Kesihatan.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily