KUALA KANGSAR: Di sebalik hasrat dua parti terbesar tanah air iaitu PAS dan Umno mengikat kerjasama kepada agenda perpaduan ummah, realiti 'pertembungan' Pemuda PAS dan Umno Negeri Perak berakhir dengan kejutan.
Biarpun perlawanan yang berlaku atas nama persahabatan, Pemuda PAS Perak tetap garang 'membelasah' Pemuda Umno Perak dengan jaringan 4 - 1 pada aksi bola sepak bersama di Stadium Mini, di sini semalam.
Edisi anjuran Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Perak itu merekodkan kemenangan kedua Pemuda PAS selepas perlawanan sulung sempena PRK Semenyih beberapa minggu lalu.
Sungguhpun Pemuda Umno menampilkan 'pemain import' dari Kuala Lumpur iaitu Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ternyata saf pimpinan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin lebih unggul.
"Kita harap kerjasama ini diteruskan di peringkat Kawasan-kawasan seluruh Perak. InsyaAllah dengan kerjasama yang erat, kita yakin dapat masuk PRU15 dengan penuh bergaya," ujarnya penuh semangat.
Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid turut melahirkan hasrat sama mahu melihat kesinambungan hubungan yang diluaskan antara Pemuda PAS dan Umno di seluruh peringkat negeri ini.
"Kita harap hubungan ini akan berterusan dan bertambah baik. Di mana hala tuju pemimpin atasan kedua-dua parti ingin kita jalinkan hubungan atau kerjasama dari segi politik dan paling penting untuk perpaduan ummah. Demi untuk kepentingan Melayu dan Islam itu sendiri," ujarnya.
Turut sama hadir menyaksikan perlawanan bersejarah di daerah bersejarah tersebut adalah Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dato' Drs Khalil Idham Lim. - HARAKAHDAILY 11/3/2019
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Berita