KUALA LUMPUR – Dakwaan pemimpin Pas memiliki wang berjuta-juta ringgit selain beberapa kenderaan mewah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan wakil rakyat pembangkang hari ini mengamuk di Dewan Rakyat.
Malah keadaan Dewan Rakyat menjadi huru-hara apabila kebanyakan wakil rakyat Pas mendesak Ahli Parlimen Johor Bharu (PH), Akhmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer menarik balik daripada dakwaan itu.
Akmal Nasrullah terdahulu memohon wakil rakyat UMNO-Pas supaya tampil membuat pengisythiaran harta bagi menunjukan ketelusan mereka sambil memetik laporan sebuah portal yang menyebut tentang dakwaan SPRM itu.
“Saya ingin minta menteri untuk mengesahkan tentang laporan berita ini jika benar ada mana-mana pemimpin Pas yang terlibat dalam isu penwelengan atau penggubahan wang haram.
“Saya ingin ulangi pendirian saya malah mencabar kepimpinan UMNO-Pas untuk istiyhar harta anda secara terbuka. Kalau hendak berkahwin sekali pun, perlulah jujur dan lebih terbuka,” katanya lagi.
Rayer kemudian juga bangkit dan turut melahirkan pendapat yang sama menyebabkan menyemarakkan lagi rasa marah dalam kalangan wakil pembangkang dengan menuduh persefahamaan antara Pas-UMNO berlaku kerana rasuah.
“Isu tentang pemimpin Pas ini menarik. Di kawasan saya sendiri ada bertanyakan tentang ini, adakah kerana ini UMNO-Pas bekerjasama? Masing-masing terlibat dengan skandal rasuah? Pas juga sudah mula tenggelam, UMNO juga tenggelam, kedua-duanya sudah mula tenggelam,” bidas Rayer.
Kenyataan Rayer menyebabkan hampir kesemua wakil rakyat Pas dalam Dewan Rakyat bangkit berteriak untuk kedua-dua mereka menarik balik dakwaan tersebut.
Antaranya, Ahli Parlimen Tumpat (Pas), Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyoal kesahihan laporan berita tersebut dengan menyebut siapakah pemimpin yang dimaksudkan oleh Akmal Nasrullah.
“Tolong sebut nama, siapa pemimpin itu? Tidak perlu cakap-cakap jika tiada bukti kesahihan. Dari dulu asyik cakap-cakap sahaja, sila sebut dan nyatakan maklumat itu,” soal Che Abdullah.
Ahli Parlimen Kemaman (Pas), Che Alias Hamid juga memberi amaran agar pimpinan PH supaya tidak menjadi pemfitnah sebaliknya memastikan terlebih dahulu apa yang mereka dakwa itu.
Belum sempat Akmal Nasrullah menjawab, Ahli Parlimen Kuala Terengganu (Pas), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali pula bangkit mendesak nama-nama pemimpin Pas yang didakwa itu disebut.
“Sebut sahaja, sebut sahaja bagitahu kami. Siapa pemimpin Pas ini? Siapa? Jawab. Sebelum ini SPRM sudah beri perakuan bahawa tidak ada duit masuk ke dalam akuan Pas, jadi mana maklumat kamu sebut ini?
“Jawab juga isu-isu lain yang kami bangkitkan seperti isu terowong itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu (BN), Datuk Jalaludin Alias mengkritik cara kerajaan PH yang kelihatan begitu takut dengan kerjasama antara UMNO-Pas sehingga berterusan menabur fitnah.
“Janganlah terpengaruh, pemimpin muda seperti anda (Akmal Nasrullah) perlu ada pendekatan seperti mengumpul fakta terlebih dahulu sebelum terburu-buru membuat keputusan atau tuduhan melulu. Bercakap ini kena ada fakta.
“Apa takut sangat dengan UMNO-Pas ini? Kita akan berterusan cipta kemenangan demi kemenangan dengan kerjasama ini, kenapa kamu (PH) takut sangat? Jelutong, janganlah keruhkan keadaan. Kamu ini Ahli Dewan yang berkualiti, jangan bercakap macam tidak ada otak,” tegasnya.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak (BN) juga mengkritik pimpinan PH dengan mengatakan rakyat sudah celik dengan permainan politik kerajaan PH.
“Dalam media sosial, kamu-kamu ini dikutuk. Sedarlah, cukuplah,” tegasnya.
Mendengar Tajuddin berkata demikian, Ahli Parlimen Kapar (PH), Abdullah Sani Abdul Hamid bangkit mengatakan pimpinan kerajaan tidak takut dengan kerjasama Pas-UMNO sebaliknya ‘gerun’ dengan ‘pencuri’ dan ‘perompak’ dalam kalangan mereka.
Jawapan itu kemudian mendapat teriakan bertalu-talu dari blok pembangkang dan masing-masing mahu terus berhujah dan berdebat.
Che Abdullah kemudian sekali lagi mendesak Akmal untuk mendedahkan sahaja siapakah yang dimaksudkan olehnya selain meminta jangan mereka-reka cerita.
Keadaan semakin tidak terkawal hampir 15 minit sehingga menyebabkan Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof juga mengalah dan meminta Akmal Nasrullah menarik balik sahaja tuduhan tersebut.
Walaupun tidak gembira akhirnya Akmal Nasrullah menarik balik kenyataannya.
“Saya tarik balik tetapi saya berpendirian Pas-UMNO perlu lebih telus dan tampil mengistiyarkan harta mereka dengan lebih terbuka, saya dengan ini menarik balik,” ujarnya.
Rata-rata wakil Pas kemudian duduk kembali sambil menunjukan tanda ‘bagus’ kepada Akmal Nasrullah dan Mohamad Ariff selepas kenyataan itu ditarik balik. –MalaysiaGazette
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Berita