Berita Terkini

Nik Abduh doakan MCA 'terbuka hati'


Seorang pemimpin kanan PAS mendoakan agar salah satu parti komponen BN untuk terbuka hati mengenali lebih dekat partinya.

Dalam kenyataannya, Anggota Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz juga memuji satu lagi parti komponen BN kerana membela PAS.

Kata Nik Abduh ketika PH terus "memfitnah" PAS, MIC pula bersikap sebaliknya.

"MIC sedar itu fitnah. PAN tak sedar-sedar. Aduhai..." katanya melalui hantaran di Facebook.

Untuk rekod pemimpin dan anggota PAS memang konsisten menggelar Parti Amanah Negara - yang diasaskan sebahagian daripada bekas pemimpin mereka - sebagai PAN.

Nik Abduh juga memuji langkah Anggota Parlimen Tapah yang juga timbalan presiden MIC kerana membela PAS semasa berbahas di Dewan Rakyat semalam.

"Tahniah MIC. Seperti kenyataan konsisten pemimpin mereka sebelum ini di luar, petang ini (semalam) anggota parlimen mereka mengulanginya di Dewan Rakyat bahawa MIC mengalu-alukan PAS sebagai sebuah parti Islam yang berlaku adil kepada semua kaum. Kelantan adalah contoh nyata, kata beliau," kata Nik Abduh.

Ketika MIC mula menerima PAS, kata anak bekas menteri besar Kelatan itu, beliau berharap MCA juga akan mengambil sikap yang sama.

Sama-sama menentang

"Pada saat MIC semakin beriringan bersama PAS, saya berdoa MCA juga terbuka hati.

"DAP dah kenal PAS dari dekat. Masa untuk MCA pula," katanya.

Untuk rekod MCA adalah antara parti yang lantang menolak usaha pelaksanaan undang-undang Islam yang pernah cuba dilaksanakan di negara ini.



Ketika PAS mahu membawa usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - atau lebih dikenali sebagai Akta 355 - MCA beberapa kali menegaskan mereka tidak akan menyokongnya.

Akta itu dibawa ke Dewan Rakyat melalui usul persendirian oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelang PRU ke-14 lalu. Bagaimanapun ia tidak dibahaskan sehingga parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun Abdul Hadi mempunyai alasan untuk menerima penentangan MCA itu.

Pada Ogos 2018 Abdul Hadi berkata MCA tidak pernah berada dalam gabungan yang sama dengan PAS seperti DAP dalam Pakatan Rakyat.

"MCA tentang hudud, DAP tentang hudud.

"Tetapi DAP menentang ketika sama-sama dalam Pakatan (Rakyat), dalam satu gagasan. Mereka tak hormat (PAS) dan serang kita.

"MCA bukan dalam satu pakatan. Tak setuju, tak setujulah, (tetapi) mereka tak serang seperti DAP," katanya.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form